Adakah pioglitazone mencegah atau melambatkan diabetes jenis 2 dan komplikasinya pada orang yang berisiko menghidap diabetes mellitus jenis 2?

Apa itu diabetes jenis 2?

Diabetes jenis 2, juga dikenali sebagai diabetes permulaan orang dewasa, adalah jenis diabetes yang paling biasa. Ia menghalang tubuh daripada menggunakan insulin dengan baik - insulin adalah hormon yang membantu tubuh mengawal tahap gula dalam darah. Orang yang menghidap diabetes jenis 2 mungkin mengalami kesan jangka panjang (komplikasi diabetes), seperti penyakit mata atau buah pinggang, atau mengalami ulser kaki. Orang dengan tahap gula darah yang cukup tinggi (sering disebut sebagai 'pradiabetes') dikatakan mempunyai peningkatan risiko untuk menghidap diabetes. Pioglitazone adalah ubat penurun tahap gula dalam darah, yang digunakan untuk merawat orang dengan diabetes jenis 2.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pioglitazone dapat juga digunakan untuk mencegah atau melambatkan diabetes jenis 2 pada orang yang berisiko tinggi menghidap penyakit ini. Kami meneliti kesan pioglitazone pada hasil yang penting bagi pesakit, seperti komplikasi diabetes, kematian akibat sebarang sebab, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan kesan rawatan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyelidik penggunaan pioglitazone untuk mencegah atau melambatkan permulaan diabetes jenis 2. Peserta harus menaikkan tahap gula darah, tetapi lebih rendah daripada tahap diagnostik untuk diabetes, dan mereka harus bebas dari penyakit lain. Kajian harus menggunakan intervensi (pioglitazone) sekurang-kurangnya 24 minggu.

Apakah yang kami temui

Kami menemui 27 kajian terkawal secara rawak (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan jumlah peserta 4186. Kajian membandingkan pioglitazone dengan ubat antidiabetik lain, diet dan senaman, plasebo (rawatan 'palsu'), atau tidak ada intervensi. Dua puluh tiga daripada 27 kajian adalah dilakukan di China. Kajian-kajian ini berlangsung antara 24 minggu dan tiga tahun.

Bukti adalah terkini sehingga November 2019.

Keputusan utama

Lima kajian membandingkan pioglitazone dengan ubat antidiabetik lain (metformin, acarbose atau repaglinide) dan satu kajian membandingkan pioglitazone dengan diet dan senaman. Tidak ada kesan yang jelas bermanfaat atau berbahaya terhadap risiko menghidap diabetes apabila membandingkan ubat-ubatan tersebut.

Enam kajian membandingkan pioglitazone dengan plasebo. Terdapat pengurangan atau kelewatan dalam perkembangan diabetes jenis 2: 188 daripada 1000 orang yang dirawat dengan plasebo menghidap diabetes jenis 2 berbanding dengan 75 per 1000 orang yang dirawat dengan pioglitazone (kemungkinan penyebaran: 32 setiap 1000 hingga 179 setiap 1000).

Dua puluh tiga kajian membandingkan pioglitazone dengan tanpa intervensi. Terdapat pengurangan atau kelewatan dalam perkembangan diabetes jenis 2: 193 daripada 1000 orang yang tidak menjalani intervensi menghidap diabetes jenis 2 berbanding dengan 60 dalam setiap 1000 yang dirawat dengan pioglitazone (kemungkinan penyebaran: 44 setiap 1000 hingga 77 setiap 1000).

Hanya sedikit kajian yang melaporkan kematian disebabkan oleh sebarang sebab, kesan tidak diingini yang serius, serangan jantung atau strok yang tidak membawa maut. Kami tidak dapat mengesan faedah atau bahaya yang jelas bagi pioglitazone untuk hasil-hasil ini. Tidak ada kajian yang dirangkumkan melaporkan mengenai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau kesan sosioekonomi (seperti kos intervensi, ketidakhadiran bekerja, pengambilan ubat).

Kami menemui dua kajian berterusan yang berpotensi untuk disertakan dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini dapat menyumbang data dari sekitar 2694 peserta untuk kemaskini ulasan kami pada masa akan datang.

Penyelidikan masa depan harus memberi tumpuan kepada sama ada kesan pioglitazone dikekalkan setelah orang berhenti mengambilnya. Selanjutnya, penyelidikan harus menumpukan pada hasil penting pesakit seperti kesan yang tidak diingini dan komplikasi diabetes.

Kualiti bukti

Semua kajian mempunyai masalah dalam kaedah mereka atau cara mereka melaporkan hasil. Selain itu, banyak hasil dilaporkan oleh beberapa kajian sahaja atau tidak dilaporkan. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada pioglitazone mencegah atau melambatkan diabetes jenis 2 dalam orang yang berisiko menghidap penyakit ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information