Adakah menghadkan waktu anda makan (berpuasa berselang-seli) dapat mencegah penyakit kardiovaskular?

Apa itu penyakit kardiovaskular?

Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia. Merokok, diabetes dan berat badan berlebihan adalah faktor risiko CVD, yang bermaksud boleh meningkatkan peluang anda untuk menghidap CVD. CVD sering dapat dicegah dengan gaya hidup sihat, seperti menjaga berat badan yang sihat atau menurunkan berat badan jika perlu.

Mengikuti diet

Sebilangan orang memilih untuk menurunkan berat badan dengan mengikuti diet; contohnya, dengan makan kurang lemak, atau dengan mengurangkan jumlah kalori yang mereka makan. Puasa berselang-seli adalah sejenis diet yang melibatkan pola makan dan puasa (tidak makan makanan); ia tidak membataskan makanan apa yang anda makan, tetapi membatasi masa yang anda boleh makan. Corak makan dalam puasa berselang-seli meliputi: berpuasa selama satu atau dua hari setiap minggu; berpuasa setiap hari; atau makan hanya pada waktu tertentu dan berpuasa sekurang-kurangnya 12 jam setiap hari.

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini

Diet yang melibatkan puasa berselang-seli menjadi popular. Kami ingin mengetahui apakah puasa berselang-seli dapat mengurangkan atau mencegah CVD.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji puasa berselang-seli terhadap 'makan biasa' (seseorang makan makanan apa sahaja yang mereka mahukan bila-bila masa), atau menentang diet 'sekatan tenaga' (seseorang menghadkan jumlah kalori yang mereka makan).

Kami ingin mengetahui sama ada puasa berselang-seli mempengaruhi kematian, kematian kardiovaskular, risiko strok, serangan jantung atau kegagalan jantung. Kami juga melihat sama ada puasa berselang-seli mempengaruhi berat badan dan kadar gula dalam darah.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan hingga 12 Disember 2019.

Apa yang kami temui

Kami menemui 26 kajian berkaitan; kami kemudian menggunakan hasil dari 18 kajian untuk membandingkan diet yang berbeza. 18 kajian itu merangkumi 1125 orang dewasa (berumur lebih dari 18 tahun). Beberapa orang dalam kajian mempunyai faktor risiko CVD dan beberapa orang tidak mempunyai faktor risiko. Sebilangan besar kajian dibiayai oleh universiti dan pusat penyelidikan; dua kajian dibiayai oleh syarikat yang membuat makanan diet.

Kajian membandingkan puasa berselang-seli dengan makan biasa (dalam tujuh kajian); diet sekatan tenaga (lapan kajian); dan diet sekatan makan dan tenaga yang biasa (tiga kajian). Kajian ini berlangsung dari empat minggu hingga enam bulan. Hasil dilaporkan setelah tiga bulan (jangka pendek), dan antara tiga hingga 12 bulan (jangka sederhana).

Kami tidak menemui data mengenai kematian, kematian kardiovaskular atau risiko strok, serangan jantung atau kegagalan jantung.

Kami mendapati bahawa orang mungkin menurunkan berat badan dengan berpuasa berselang-seli daripada makan biasa selama tiga bulan (bukti dari 7 kajian pada 224 orang); tetapi tidak jika dibandingkan dengan diet sekatan tenaga selama tiga bulan (10 kajian; 719 orang) atau lebih lama (3 hingga 12 bulan; 4 kajian; 279 orang).

Kami juga mendapati bahawa berpuasa berselang-seli tidak mempengaruhi tahap gula dalam darah jika dibandingkan dengan makan biasa selama tiga bulan (3 kajian; 95 orang); diet sekatan tenaga selama tiga bulan (9 kajian; 582 orang); atau diet sekatan tenaga lebih dari 3 hingga 12 bulan (4 kajian; 279 orang).

Penurunan berat badan dan perubahan gula darah yang dilaporkan dalam kajian adalah kecil. Perubahan ini tidak dianggap signifikan secara klinikal.

Hanya empat kajian melaporkan kesan berpuasa yang tidak diingini: beberapa orang yang mengambil bahagian melaporkan sakit kepala ringan. Hanya satu kajian melaporkan kesejahteraan peserta, menunjukkan peningkatan kecil untuk skor kesejahteraan fizikal.

Keyakinan kami terhadap dapatan

Kami tidak yakin dengan keputusan kami. Kami menemui limitasi cara kajian dirancang, dijalankan dan dilaporkan; dan dalam beberapa kajian, hasilnya bervariasi, atau tidak konsisten. Dapatan kami mungkin berubah sekiranya terdapat lebih banyak bukti.

Mesej utama

Kami tidak menemui bukti kepastian yang cukup untuk mengetahui sama ada puasa berselang-seli dapat mencegah CVD. Kami mendapati berpuasa berselang-seli boleh membantu menurunkan berat badan lebih banyak daripada 'makan seperti biasa' (tidak berdiet) tetapi sama dengan diet sekatan tenaga. Kami memerlukan kajian lebih lanjut untuk mengkaji faedah dan bahaya puasa berselang-seli, dan untuk mengkaji sama ada ia boleh mempengaruhi bilangan orang yang mati atau mengalami CVD.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information