Mesej utama
• Memberi ubat-ubatan yang melambatkan penguraian tulang (ubat pengubah suai tulang) mungkin membantu menguatkan tulang dan mengurangkan kemungkinan tulang patah, tetapi ia juga boleh membawa kepada lebih banyak kesan yang tidak diingini.
• Kerana setiap rawatan mempunyai faedah dan kekurangannya sendiri, sukar untuk menentukan ubat yang mana merupakan pilihan yang terbaik.
• Kami memerlukan lebih banyak kajian di mana ubat-ubatan ini dibandingkan secara langsung antara satu sama lain.
Apakah kelesapan tulang dan mengapa pesakit kanser mendapatnya?
Kelesapan tulang bermakna bahawa lebih banyak tulang lama dirosakkan daripada tulang baru terbentuk, menyebabkan ketidakseimbangan. Ubat pengubah suai tulang yang dipanggil bisfosfonat atau denosumab boleh membantu dengan melambatkan penguraian tulang. Wanita dengan kanser payudara terutamanya cenderung kepada kehilangan tulang kerana rawatan kanser boleh melemahkan tulang, menjadikannya lebih mudah terdedah kepada patah tulang.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengenal pasti ubat-ubatan mana yang paling baik untuk mengurangkan kehilangan tulang pada wanita dengan kanser payudara dan jika ubatan tersebut mempunyai kesan yang tidak diingini. Kami ingin tahu sama ada ubat-ubatan ini:
• menjadikan tulang lebih kuat ('ketumpatan tulang');
• menambah baik emosi dan fungsi wanita tersebut dalam kehidupan seharian mereka;
• menurunkan risiko mengalami patah tulang;
• meningkatkan kelangsungan hidup wanita tersebut; dan
• mempunyai kesan yang tidak diingini seperti kerosakan pada tulang rahang ('osteonekrosis rahang') atau masalah buah pinggang.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan ubat-ubatan pengubah suai tulang yang berbeza bagi mengurangkan kehilangan tulang akibat kanser payudara peringkat awal atau peringkat lanjut setempat. Kami membandingkan penemuan mereka, meringkaskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan bagaimana kajian dilakukan dan berapa ramai individu yang mengambil bahagian. Kami menggunakan kaedah statistik untuk membandingkan pelbagai rawatan antara satu sama yang lain dan menyusun mereka berdasarkan keberkesanan dan kesan sampingan yang tidak diingini.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 47 kajian yang melibatkan 35,163 individu pada usia yang berbeza dan dengan peringkat kanser payudara yang berbeza. Mereka menerima ubat pengubah suai tulang (bisfosfonat atau denosumab) atau plasebo/tiada rawatan, bersama dengan rawatan kanser. Rawatan kanser boleh termasuk kemoterapi, terapi endokrin dan/atau radioterapi.
Tiga puluh empat kajian yang melibatkan 33,793 peserta melaporkan data yang boleh dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini membandingkan lapan agen pengubah suai tulang yang berbeza bagi mengurangkan kehilangan tulang.
Kebanyakan ubat pengubah suai tulang (kecuali alendronate dan pamidronate) nampaknya dapat meningkatkan ketumpatan tulang (9 kajian; 1166 peserta) dan mengurangkan risiko patah tulang (16 kajian; 19,492 peserta).
Ubat pengubah suai tulang nampaknya tidak memberi kesan kepada kualiti hidup (hanya tiga kajian; tiada analisis kuantitatif).
Ulasan ini menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini mungkin tidak menjejaskan kelangsungan hidup apabila melibatkan peserta wanita pramenopaus dan pascamenopaus (17 kajian; 30,991 peserta).
Ubat-ubatan ini boleh mengakibatkan lebih banyak kesan yang tidak diingini seperti osteonekrosis rahang (12 kajian; 23,527 peserta). Bisfosfonat, clodronate, dan denosumab, mungkin tidak menjejaskan fungsi buah pinggang, sementara ibandronate dan asid zoledronic boleh meningkatkan risiko masalah buah pinggang berbanding tanpa rawatan atau plasebo (12 kajian; 22,469 peserta).
Apakah batasan bukti?
Secara keseluruhan, kami sederhana yakin dengan bukti bahawa satu rawatan adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding dengan yang lain. Keyakinan kami terhad kerana kadang-kadang kami memperhatikan hasil yang bertentangan bagi rawatan yang sama.
Kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mencapai kesimpulan yang kukuh mengenai rawatan mana yang terbaik. Ini kerana tidak semua kajian memberikan maklumat yang kami perlukan, jadi kami tidak dapat membandingkan semua rawatan bagi setiap dapatan.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Januari 2023.
Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).