Terapi myofunctional (latihan orofaring - mulut dan tekak) untuk orang yang mengalami apnea tidur obstruktif

Latar belakang

Apnea tidur obstruktif (OSA) adalah gangguan tidur. Orang dengan OSA menghadapi saat di mana pernafasan mereka terhenti pada waktu malam. OSA boleh menyebabkan dengkuran, rehat yang tidak memuaskan, mengantuk pada waktu siang, kelesuan, keletihan, insomnia awal dan sakit kepala pada waktu pagi.

Tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) dianggap sebagai pilihan rawatan pertama bagi kebanyakan orang dengan OSA. Walau bagaimanapun, kepatuhan terhadap CPAP sering kali buruk. Mesin CPAP menggunakan hos dan topeng atau topeng hidung untuk memberikan tekanan udara yang berterusan dan stabil. Orang yang menggunakan CPAP sering mengatakan bahawa menggunakan mesin CPAP adalah tidak selesa, menyebabkan kesesakan hidung dan kembung perut. Mereka merasa sesak dan bunyi mesin bising. Kebisingan boleh mengganggu rakan tidur.

Terapi myofunctional mengajar mereka melakukan senaman harian untuk menguatkan otot lidah dan tekak mereka. Terapi myofunctional atau gabungan terapi myofunctional dan CPAP dapat mengurangkan intensiti gejala OSA dan mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang.

Keputusan utama

Kami menemui sembilan kajian RCT yang menganalisis sejumlah 347 peserta, 69 daripadanya adalah wanita, dan 13 kanak-kanak.

Bagi orang dewasa, berbanding terapi palsu, terapi myofunctional mungkin mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang, dapat meningkatkan kualiti tidur, boleh mengakibatkan penurunan besar dalam Indeks Apnea-Hypopnoea (bilangan situasi apnea atau hipopnoea yang dicatatkan semasa kajian polisomnografi bagi setiap jam semasa tidur), mungkin sedikit atau tidak mempengaruhi pengurangan frekuensi berdengkur dan mungkin mengurangkan intensiti dengkuran subjektif secara sedikit.

Berbanding senarai menunggu, terapi myofunctional dapat mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang, dapat mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan pada kualiti tidur dan mungkin mengurangkan AHI.

Berbanding CPAP, terapi myofunctional dapat menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan rasa mengantuk pada waktu siang dan mungkin meningkatkan AHI.

Berbanding CPAP dan terapi myofunctional, terapi myofunctional secara tersendiri mungkin dapat menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan rasa mengantuk pada waktu siang dan mungkin meningkatkan AHI.

Berbanding latihan pernafasan dan pelekat dilator hidung, terapi myofunctional boleh menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan rasa mengantuk pada waktu siang, mungkin meningkatkan kualiti tidur secara sedikit dan mungkin mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan pada AHI.

Berbanding rawatan perubatan biasa, terapi myofunctional mungkin mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang dan mungkin meningkatkan kualiti tidur.

Pada kanak-kanak, berbanding mencuci saluran hidung sahaja, pengunaan terapi myofunctional dan mencuci saluran hidung mungkin mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan pada AHI.

Kepastian bukti

Tahap kepastian kami mengenai hasil kajian berkisar antara sederhana hingga sangat rendah untuk semua perbandingan, terutamanya disebabkan oleh masalah yang berkaitan dengan risiko bias (untuk ‘blinding’ peserta yang tidak mencukupi dan data hasil yang tidak lengkap dalam beberapa kajian) dan ketidaktepatan.

Sebilangan besar peserta kajian adalah lelaki dan kami tidak dapat melakukan analisis yang berasingan untuk wanita.

Kesimpulan

Berbanding terapi sham, terapi myofunctional mungkin mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang dan dapat meningkatkan kualiti tidur dalam jangka pendek bagi pesakit dengan apnea tidur obstruktif. Kajian ‘blinding’ baru, dengan lebih banyak peserta dan masa rawatan dan tindak lanjut yang lebih lama, diperlukan.

Ulasan ini adalah terkini sehingga Mei 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information