Penambahan penguat kepada susu manusia lebih awal berbanding lewat untuk menggalakkan pertumbuhan bayi pramatang

Soalan ulasan

Adakah menambahkan penguat susu manusia (HMF) dengan awal menggalakkan pertumbuhan dan menambah baik hasil dalam bayi pramatang berbanding menambahkannya lewat?

Latar belakang

Ketidakpastian wujud mengenai titik optimum yang mana HMF patut ditambahkan kepada susu manusia untuk menggalakkan pertumbuhan bayi pramatang. Amalan yang paling lazim adalah memulakan HMF apabila jumlah makanan harian bayi mencapai 100 mL/kg berat badan. Pendekatan lain adalah memulakan HMF lebih awal, dalam beberapa kes seawal makanan pertama. Menambahkan HMF dengan awal boleh meningkatkan pengambilan nutrien dan kadar pertumbuhan tetapi mungkin meningkatkan risiko ketaktoleranan makanan dan enterokolitis nekrotik.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2019. Kami mengenal pasti dua kajian rawak terkawal yang menilai kesan-kesan menambahkan HMF dengan awal untuk bayi pramatang.

Keputusan utama

Kami hanya menemui data yang terhad dari dua kajian. Terdapat ketidakpastian sama ada menambahkan HMF dengan awal untuk bayi pramatang mempunyai kesan terhadap hasil penting seperti pertumbuhan semasa berada di hospital, enterokolitis nekrotik, kematian sebelum keluar dari hospital, kehadiran kegagalan pertumbuhan semasa keluar dari hospital, dan tempoh tinggal di hospital.

Kepastian tentang bukti

Bukti yang tersedia adalah tidak mencukupi untuk menyokong atau menolak penambahan awal HMF kepada susu manusia untuk menggalakkan pertumbuhan bayi pramatang. Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk memeriksa sama ada penambahan awal HMF adalah bermanfaat atau berbahaya untuk bayi pramatang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information