Mesej utama
- Vaksin yang dinilai dalam ulasan ini tidak meningkatkan kelangsungan hidup individu, atau kelangsungan hidup tanpa progres penyakit atau sangat sedikit progres pada tahap yang boleh diabaikan.
- Kesan yang tidak diingini daripada vaksin ini adalah tidak kerap.
Apakah kanser paru-paru ?
Kanser paru-paru ialah salah satu kanser yang paling kerap berlaku di seluruh dunia. Kanser paru-paru ‘non-small cell’ (NSCLC) ialah jenis kanser paru-paru yang paling kerap, menyumbang kira-kira 87% daripada kanser paru-paru . Kanser paru-paru bukan sel kecil sering didiagnosis apabila kanser ini berada di peringkat yang sudah lanjut, dikaitkan dengan kadar kematian yang tinggi dan jangka hayat yang singkat.
Bagaimanakah kanser paru-paru-paru bukan sel kecil dirawat?
Kebanyakan kanser ini dirawat dahulu dengan kemoterapi - iaitu ubat yang terdiri daripada bahan kimia yang kuat untuk membunuh sel kanser yang membiak dengan cepat. Terapi baharu untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi individu dengan NSCLC tertumpu pada rawatan dengan imunoterapi selepas kemoterapi. Vaksin untuk kanser ialah sejenis rawatan imunoterapi. Tidak seperti vaksin untuk melindungi kita daripada penyakit, vaksin kanser adalah bagi individu yang sudah mempunyai kanser. Vaksin kanser terapeutik bertujuan untuk merangsang sistem imun badan untuk mengenali dan memusnahkan sel-sel kanser .
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada vaksin memanjangkan kelangsungan hidup individu dan masa kelangsungan hidup tanpa penyakit progres, dan sama ada vaksin ini dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini .
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada vaksin kanser terapeutik sahaja atau digabungkan dengan kemoterapi dibandingkan dengan penjagaan sokongan, tiada rawatan atau plasebo (ubat tidak aktif atau 'palsu') pada individu dengan NSCLC peringkat lanjut.
Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 2177 peserta dengan NSCLC peringkat lanjut. Kajian terbesar melibatkan 419 peserta dan kajian terkecil sebanyak 50 peserta. Tujuh jenis vaksin berbeza telah dinilai. Tiga vaksin telah dinilai dalam dua kajian bagi setiap satu vaksin tersebut : Iaitu vaksin berasaskan vektor TG4010; vaksin faktor pertumbuhan epidermis; dan racotumomab. Baki 4 vaksin masing-masing dinilai dalam satu kajian.
Keputusan utama
- Tiada vaksin meningkatkan jangka kelangsungan hidup peserta, kecuali racotumomab, yang boleh meningkatkannya sedikit bila dibandingkan dengan plasebo. Jangka kelangsungan hidup median bagi mereka dalam kumpulan vaksin racotumomab adalah 8.2 bulan, dibandingkan dengan 6.8 bulan dalam kumpulan yang tidak menerima vaksin. (Median adalah nilai tengah di dalam satu set nombor.)
- Tiada satu pun daripada vaksin menambah baik kelangsungan hidup tanpa progres penyakit, kecuali TG4010, yang boleh meningkatkannya sedikit. Jangkaan kelangsungan hidup tanpa progres median bagi individu dalam kumpulan vaksin TG4010 adalah 5.9 bulan, dibandingkan dengan 5.1 bulan dalam kumpulan tanpa vaksin.
- 7 vaksin berbeza yang diuji sebahagian besarnya kelihatan selamat: tiada perbezaan di antara orang yang diberi vaksin dan mereka yang tidak diberi vaksin dari segi kesan sampingan (tidak diingini ) yang serius. Walau bagaimanapun, 1 vaksin (SLR172) yang ditambahkan pada kemoterapi meningkatkan kadar individu mengalami sekurang-kurangnya 1 kesan sampingan yang serius . Vaksin yang lain (OSE2101) mungkin memberikan sedikit penurunan kadar individu mengalami sekurang-kurangnya 1 kesan sampingan yang serius .
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti berbeza dari sederhana hingga sangat rendah untuk vaksin dan hasil berbeza dinilai, terutamanya kerana kajiannya kecil dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusannya.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).