Pengurusan kesakitan langkah demi langkah (berasaskan algoritma) untuk pesakit demensia di pusat jagaan

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Kami berminat dengan bagaimanakah cara yang terbaik bagi jururawat dalam menguruskan kesakitan pesakit demensia yang tinggal di pusat jagaan. Pengurusan kesakitan melibatkan mengukur tahap kesakitan dan merawat kesakitan jika perlu. Kami berhasrat untuk mengetahui sama ada panduan langkah demi langkah (algoritma) untuk jururawat tentang cara menguruskan kesakitan boleh mengurangkan kesakitan atau tingkah laku yang mungkin menunjukkan seseorang berada dalam keadaan tertekan (seperti memukul, menjerit, atau merayau).

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pesakit demensia di pusat jagaan sering mengalami kesakitan. Walau bagaimanapun, mereka tidak selalu berupaya memberitahu penjaga mereka jika mereka mengalami kesakitan, jadi ia boleh menjadi sukar untuk dikenali, dan kami tahu bahawa penghuni pusat jagaan yang mengalami demensia menerima kurang ubat tahan sakit berbanding mereka yang tidak mengalami demensia. Kesakitan yang tidak dirawat boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan dan kesihatan, dan juga boleh menjadi salah satu penyebab tingkah laku yang mencabar, seperti aggresif. Penggunaan panduan terperinci langkah demi langkah untuk kakitangan unit kejururawatan, dipanggil algoritma dalam ulasan ini, direka untuk menambah baik pengurusan kesakitan. Algoritma bermula dengan penilaian kesakitan berstruktur dan kemudian menetapkan langkah rawatan yang berbeza, yang mungkin merupakan rawatan bukan ubat atau ubat untuk mengurangkan kesakitan. Sekiranya kesakitan dikesan, rawatan yang diterangkan dalam langkah pertama digunakan. Jika rawatan ini tidak mengurangkan kesakitan, rawatan dari langkah seterusnya digunakan, dan seterusnya.

Kajian-kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini

Pada Jun 2021, kami mencari kajian yang menyiasat pengurusan kesakitan berasaskan penggunaan algoritma. Kami menemui tiga kajian yang memasukkan 808 peserta. Dua daripada kajian ini membandingkan pengurusan kesakitan berasaskan algoritma dengan tahap pendidikan untuk kakitangan unit kejururawatan tentang kesakitan dan demensia, dan satu kajian membandingkan pengurusan kesakitan berasaskan algoritma dengan penjagaan biasa.

Tahap kesakitan dan keterukan peserta demensia berbeza dalam tiga kajian. Satu kajian memasukkan semua penghuni di pusat jagaan, yang kebanyakannya tidak mengalami kesakitan, atau hampir tiada kesakitan, pada permulaan kajian (kurang daripada separuh bilangan peserta mengalami kesakitan), dan dua kajian hanya memasukkan orang yang mengalami kesakitan ringan hingga sederhana. Dalam satu kajian, peserta menghidap demensia ringan atau sederhana; dan dalam dua kajian, peserta mengalami demensia yang teruk.

Dalam dua kajian, mereka yang mengalami demensia dan berkemampuan melaporkan kesakitan secara sendiri dan kakitangan unit kejururawatan juga menilai sama ada peserta menunjukkan tanda-tanda kesakitan. Dalam kajian ketiga, kesakitan dinilai oleh ahli pasukan penyelidikan, tetapi bukan oleh peserta sendiri. Jururawat dan ahli penyelidik menggunakan pemerhatian tentang perkara seperti mimik muka, gerak isyarat, dan pernafasan untuk menilai sama ada seseorang mengalami kesakitan.

Apakah penemuan utama?

Apabila kami melihat kajian di mana peserta bermula tanpa rasa sakit, atau hampir tiada kesakitan, kami tidak dapat memastikan sama ada pengurusan kesakitan berasaskan algoritma mempunyai kesan ke atas intensiti kesakitan yang mereka alami semasa kajian. Ini adalah benar sama ada peserta kajian melaporkan kesakitan mereka secara sendiri atau sama ada jururawat menilai intensiti kesakitan. Kami juga tidak dapat mengetahui daripada kajian ini sama ada pengurusan kesakitan berasaskan algoritma mengurangkan tingkah laku yang mencabar.

Bagi orang yang bermula dengan kesakitan ringan hingga sederhana, kami mendapati bahawa pengurusan kesakitan berasaskan algoritma mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas intensiti kesakitan yang dilaporkan oleh pesakit secara sendiri (berdasarkan keputusan daripada satu kajian) berbanding tahap pendidikan kakitangan unit kejururawatan. Apabila kesakitan dinilai oleh orang lain (wakil pesakit yang merupakan seorang jururawat atau pembantu penyelidik), kami mendapati bahawa pengurusan kesakitan berasaskan algoritma mungkin lebih baik daripada penjagaan biasa, walaupun ia mungkin bukan lebih berkesan daripada pendidikan tentang pengurusan kesakitan. Walau bagaimanapun, ia adalah sukar untuk memastikan ketepatan penilaian kesakitan yang dibuat oleh orang lain.

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad kerana bilangan kajian yang disertakan adalah kecil, perubahan dalam intensiti kesakitan dan tahap keterukan peserta demensia pada permulaan kajian, dan kualiti kajian.

Tiada kajian yang mengaji kesan berbahaya dan tiada kajian yang menghuraikan berlakunya kesan berbahaya.

Apakah kesimpulannya?

Kami tidak menemui bukti yang baik bahawa memperkenalkan algoritma untuk membimbing pengurusan kesakitan bagi pesakit demensia di pusat jagaan adalah lebih baik daripada pendidikan untuk kakitangan unit kejururawatan untuk mengurangkan kesakitan atau tingkah laku yang mencabar, tetapi mungkin lebih baik daripada penjagaan biasa untuk mengurangkan kesakitan (dinilai oleh pemerhati). Jumlah bukti adalah kecil, dan kami tidak dapat menilai kepastian keputusan. Lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini akan lebih bernilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information