Intervensi untuk menambahbaik sanitasi untuk mencegah cirit-birit

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane adalah untuk menilai jika cirit-birit dikurangkan dengan intervensi sanitasi untuk menyediakan, menaik taraf, atau menggalakkan orang untuk menggunakan tandas. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan bagi jenis reka bentuk kajian ketat tertentu yang ditentukan dan menemui 51 kajian melibatkan 238,535 orang.

Mesej utama

Kami menemui bukti bahawa intervensi sanitasi mungkin melindungi daripada cirit-birit. Walau bagaimanapun, kesannya berbeza-beza mengikut jenis intervensi dan tetapan, dan kepastian bukti adalah dari sangat rendah hingga sederhana.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Cirit-birit adalah punca utama kematian dan penyakit, terutama dalam kalangan kanak-kanak di negara berpendapatan rendah. Banyak patogen yang menyebabkan cirit-birit disebarkan melalui pendedahan terhadap najis manusia. Kemudahan sanitasi, seperti tandas, berfungsi sebagai penghalang utama untuk memisahkan patogen yang dikumuhkan dalam najis manusia daripada persekitaran. Ulasan ini menilai kajian intervensi untuk menambahbaik akses, kemudahan, atau penggunaan. Kami mengenal pasti 51 kajian tentang intervensi ini, kebanyakannya dari negara berpendapatan rendah atau sederhana.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Keputusan mencadangkan intervensi sanitasi mengurangkan cirit-birit sebanyak 15% hingga 26%, kedua-duanya dalam kanak-kanak yang terdedah dan semua populasi umur. Walau bagaimanapun, tidak semua intervensi bersifat melindungi, dan kesannya berbeza-beza dengan ketara mengikut jenis intervensi dan tetapan. Kami menganggarkan bahawa intervensi untuk menyediakan akses sanitasi kepada orang yang mengamalkan pembuangan air besar secara terbuka mungkin akan mengurangkan cirit-birit kira-kira 11% hingga 21%, intervensi untuk menambahbaik kemudahan sanitasi sedia ada boleh mengurangkan cirit-birit kira-kira 15% hingga 35%, dan intervensi perubahan tingkah laku kepada menambahbaik akses atau penggunaan sanitasi tanpa menyediakan infrastruktur atau subsidi mungkin mengurangkan cirit-birit kira-kira 15% hingga 18%. Walau bagaimanapun, kepastian bukti adalah dari sederhana hingga sangat rendah, dan penyelidikan tambahan berkemungkinan mengubah anggaran ini, terutamanya untuk intervensi yang menyediakan akses sanitasi atau menambahbaik kemudahan sanitasi sedia ada. Penyelidikan lanjut juga diperlukan untuk memahami jenis intervensi yang akan menghasilkan kesan kesihatan yang paling melindungi dalam pelbagai jenis tetapan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 16 Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information