Alat untuk memantau secara berterusan kadar gula (glukosa) dalam darah pada bayi baru lahir yang pramatang

Soalan ulasan

Apakah faedah dan kemudaratan penggunaan pengesan subkutan (di bawah kulit) untuk pemantauan berterusan glukosa (CGM) dengan atau tanpa algoritma (satu set peraturan matematik) untuk membetulkan terlalu tinggi atau terlalu rendah ​​​​​ ​ tahap glukosa darah berbanding kaedah berkala untuk mengukur glukosa darah dengan atau tanpa algoritma untuk membimbing pembetulan glukosa darah yang terlalu tinggi atau terlalu rendah pada bayi pramatang 1. berisiko terlalu tinggi atau terlalu rendah ​​​​​​ tahap glukosa darah; 2. dengan terbukti terlalu rendah ​​​​​tahap glukosa darah; dan 3. dengan terbukti terlalu tinggi​​​​​​ tahap glukosa darah?

Latar belakang

Bayi yang lahir terlalu awal (‘pramatang’) terdedah kepada tahap glukosa darah yang terlalu tinggi atau terlalu rendah. Kebanyakan bayi pramatang dengan kepekatan yang tidak normal ini mungkin pulih sepenuhnya, atau mungkin hanya mengalami masalah ringan. Bagi sesetengah bayi pramatang dengan glukosa darah yang sangat tinggi atau rendah (atau lebih berpanjangan), ini mungkin menyebabkan kematian atau masalah pada kemudian hari.

Tujuan ulasan dikemaskini ini adalah untuk menilai sama ada penggunaan CGM dapat meningkatkan perkembangan jangka panjang, atau mengurangkan kematian pada bayi pramatang. Peranti CGM dimasukkan secara subkutan, dan memberikan data mengenai tahap glukosa darah dalam masa sebenar. Kaedah standard untuk mengukur glukosa darah terdiri daripada mengukur kepekatan glukosa darah secara berkala dengan mengeluarkan sedikit darah, selalunya dengan tusukan tumit.

Ciri-ciri kajian
Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ulasan ini, dan menemui empat kajian yang mendaftarkan 300 bayi. Kajian-kajian ini membandingkan penggunaan CGM dengan ukuran berkala pada bayi yang berisiko terlalu tinggi atau terlalu rendah ​​​​​​ tahap glukosa darah.

Keputusan utama

Antara empat kajian yang dimasukkan tiada yang melaporkan tentang hasil jangka panjang perkembangan neuro dalam bayi pramatang. Kajian-kajian terlalu kecil untuk menentukan sama ada CGM mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup. Satu kajian sedang dijalankan. Walaupun satu kajian yang diterbitkan pada 2021 melaporkan kejadian kecederaan usus yang serius (necrotizing enterocolitis, keradangan serius pada usus yang boleh mengancam nyawa) adalah lebih rendah dalam kumpulan CGM, penemuan ini adalah sangat tidak pasti kerana keputusannya adalah sangat tidak tepat. Penyelidikan lanjutan adalah diperlukan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sangat rendah kerana jumlah keseluruhan kajian yang terhad, dengan sedikit bayi yang didaftarkan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 1 April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information