Vitamin D untuk merawat penyakit paru-paru obstruktif kronik (penyakit radang paru-paru kronik)

Mesej utama

Ulasan Cochrane ini tidak mendapati vitamin D menawarkan perlindungan terhadap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) akut, penyakit paru radang paru- yang kronik dan menyebabkan kesukaran bernafas. Ia juga tidak mendapati vitamin D memperbaik simptom keseluruhan dalam kalangan orang dengan COPD.

Mengapa kami fikir vitamin D mungkin bermanfaat untuk orang dengan COPD?

Paras vitamin D dalam darah ('vitamin cahaya matahari') yang rendah telah dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit COPD yang teruk. Semasa memberang, pesakit mengalami kesukaran bernafas dan batuk yang meningkat - berang yang teruk ditakrif sebagai memerlukan tablet atau suntikan steroid. Oleh itu, kami berpendapat penambahan untuk memastikan paras vitamin D yang baik mungkin dapat membantu mencegah pemberangan dan memperbaik kawalan simptom.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika penambahan vitamin D:

• mengurangkan risiko pemberangan COPD;

• memperbaik kawalan simptom COPD;

• membawa sebarang kesan sampingan negatif.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian penyelidikan yang membandingkan kesan vitamin D dengan plasebo yang sepadan (ubat tiruan) terhadap risiko pemberangan akut COPD dan kawalan simptom COPD. Kami tidak menetapkan sebarang batasan berdasarkan dos vitamin D yang diberi, cara ia diberi atau tempoh kajian. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian.

Kami juga menganalisis sama ada kesan penambahan vitamin D berbeza mengikut paras vitamin D peserta sebelum mengambil penambahan (paras garis dasar), keterukan terjejasnya peserta oleh COPD pada mulanya dan penggunaan regular ubat steroid.

Apa yang kami dapati?

Kami sertakan data dari 10 kajian dalam ulasan ini, yang melibatkan sejumlah 1372 orang. Daripada jumlah ini, lima kajian melaporkan data tentang kadar pemberangan teruk. Kajian-kajian dijalankan antara tiga minggu dan 40 bulan, dan semua kajian menyiasat bentuk vitamin D yang dinamakan sebagai cholecalciferol atau vitamin D 3 . Ini adalah vitamin D dalam bentuk tablet yang paling lazim. Satu kajian juga menyiasat bentuk lain, yang dinamakan calcitriol. Majoriti peserta mempunyai COPD ringan/sederhana, dan minoriti mengalami COPD yang teruk.

• Secara keseluruhan, memberi orang penambahan vitamin D menunjukkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko pemberangan COPD berbanding mereka yang diberi plasebo (ubat tiruan).

• Vitamin D juga memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap peratusan orang yang mengalami satu atau lebih pemberangan semasa tempoh kajian.

• Pengambilan penambahan vitamin D mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kapasiti paru-paru, atau risiko kesan sampingan yang serius dan mudarat.

• Penambahan vitamin D mengakibatkan sedikit atau tiada kesan risiko kematian, atau kualiti hidup peserta.

Apakah batasan bukti?

• Kami yakin vitamin D tiada kesan terhadap pemberangan COPD, dan sederhana yakin ia mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas kapasiti paru-paru dan risiko kesan sampingan serius dan mudarat.

• Walau bagaimanapun, kami berkeyakinan rendah terhadap bukti risiko kematian akibat COPD kerana ia berdasarkan kajian dengan bilangan peserta yang kecil. Kami juga berkeyakinan rendah terhadap bukti kualiti hidup kerana kajian-kajian menggunakan pelbagai ukuran yang sukar untuk dibandingkan.

• Kami berkeyakinan rendah terhadap keputusan satu kajian, kerana ia bergantung kepada peserta untuk mengingati simptom harian mereka sepanjang dua bulan sebelumnya tanpa menggunakan diari. Kajian ini menyumbang data kepada salah satu hasil utama, iaitu fungsi paru-paru orang dengan COPD. Walau bagaimanapun, apabila kami mengulangi analisis dengan mengecualikan kajian ini, keputusan keseluruhan tidak berubah - penambahan vitamin D tiada kesan dalam kedua-dua kes.

Penyelidikan masa depan

Kami syorkan penyelidikan lanjut keseimbangan manfaat dan mudarat penambahan vitamin D dalam COPD bagi mereka yang mempunyai paras vitamin D permulaan yang sangat rendah atau sangat tinggi, kerana kami temui sedikit bukti untuk membantu menjawab soalan bagi kumpulan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 24 Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Tools
Information