Cara pemberian glukosa sebagai rawatan kecemasan untuk gejala hipoglisemia

Soalan ulasan

Kami mengkaji kesan pelbagai cara pemberian glukosa sebagai rawatan pertolongan cemas pada mereka yang disyaki atau mengalami gejala hipoglisemia.

Latar belakang

Hipoglisemia, atau kandungan gula rendah dalam darah, adalah kejadian yang kerap berlaku pada pesakit diabetes tetapi mungkin juga berlaku pada orang lain kerana ketidakseimbangan regulasi gula dalam darah. Gejala-gejala hipoglisemia ringan atau sederhana contohnya, menggigil, pening, berpeluh atau rasa cemas, pertolongan kecemasan untuk keadaan ini kebiasaannya dilakukan sendiri oleh pesakit tetapi sering juga diberikan oleh ahli keluarga atau rakan-rakan, dan tablet glukosa berbanding dengan gula dalam makanan seperti jus, gula-gula atau buah-buahan kering telah menunjukkan hasil yang lebih baik untuk resolusi gejala (kembali seperti biasa). Glukosa boleh diberikan secara oral (ditelan), tetapi juga boleh dikemam di dalam mulut d itepi mukosa bukal ('pemberian buccal'), di bawah lidah ('pemberian sublingual') atau melalui rektum (dubur). Dalam tiga cara rawatan terakhir, glukosa tidak ditelan seperti laluan oral.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti empat kajian. Satu kajian rawak (kajian klinikal di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada kumpulan dimana mereka mendapat dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan pemberian glukosa sublingual, dalam bentuk gula biasa, dengan pemberian oral kepada 42 kanak-kanak berusia antara satu hingga 15 tahun yang mengalami hipoglisemia. Dua kajian bukan rawak membandingkan pemberian glukosa buccal dengan pemberian oral kepada 23 sukarelawan dewasa sihat yang berpuasa. Satu kajian rawak membandingkan gel dextrosa dengan pemberian glukosa oral kepada 18 orang dengan diabetes jenis 1 dan hipoglisemia.

Keputusan utama

Pemberian gula di bawah lidah (sublingual) menghasilkan kenaikan glukosa dalam darah selepas 20 minit berbanding pemberian gula secara oral, tetapi ini adalah dalam keadaan yang spesifik termasuklah kepada kanak-kanak dengan hipoglisemia dan gejala malaria atau jangkitan saluran pernafasan. Sebaliknya, pemberian glukosa dengan laluan mukosa buccal menghasilkan kepekatan plasma glukosa yang lebih rendah berbanding dengan laluan oral. Bagi gel dextrosa (di mana pengambilan glukosa berlaku melalui kombinasi menelan dan melalui mukosa buccal), tiada faedah yang jelas ditunjukkan berbanding dengan pemberian glukosa oral (tablet glukosa atau air glukosa). Kebanyakan kajian tidak melaporkan masa yang diambil untuk resolusi gejala, resolusi hipoglisemia seperti yang ditakrifkan oleh tahap glukosa dalam darah di atas ambang tertentu, masa untuk resolusi hipoglisemia, kesan sampingan, dan kelewatan rawatan.

Kepastian bukti

Bukti mempunyai tahap kepastian yang sangat rendah disebabkan oleh batasan dalam reka bentuk kajian, jumlah kajian dan bilangan peserta kajian yang sedikit, dan kerana sebahagian daripada kajian-kajian dijalankan dengan sukarelawan yang sihat dan bukannya dengan peserta yang mempunyai tanda hipoglisemia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Malaysian Health Technology Assessment Section). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zuromli@yahoo.com

Tools
Information
Share/Save