Paracetamol untuk merawat pesakit osteoartritis lutut atau pinggul

Latarbelakang

Osteoartritis pinggul atau lutut merupakan penyakit penyebab hilang upaya progresif yang menjejaskan ramai manusia di serata dunia. Walaupun paracetamol digunakan secara meluas sebagai rawatan pilihan bagi keadaan ini, kajian terkini telah mempersoalkan keberkesanan ubat yang melegakan kesakitan ini.

Tarikh carian

Ulasan ini meliputi semua kajian yang diterbitkan sehingga 3 Oktober 2017.

Ciri-ciri kajian

Pengulas memasukkan kajian klinikal rawak (peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua kumpulan rawatan) bagi melihat kesan paracetamol untuk orang yang mempunyai kesakitan pinggul atau lutut disebabkan osteoartritis berbanding plasebo (‘tablet gula’ yang tidak mengandungi apa-apa yang boleh bertindak sebagai ubat). Pengulas menemui 10 kajian dengan 3541 peserta. Secara purata, peserta dalam kajian ini berumur di antara 55 dan 70 tahun, dan kebanyakan mempunyai osteoartritis lutut. Dos rawatan adalah daripada 1.95 g/sehari hingga 4 g/sehari paracetamol dan peserta telah disusuli di antara satu dan 12 minggu dalam semua kajian kecuali satu yang telah mengikuti peserta sehingga 24 minggu. Enam kajian telah dibiayai oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan paracetamol.

Keputusan-keputusan utama

Berbanding dengan tablet plasebo, paracetamol menghasilkan sedikit manfaat pada 12 minggu.

Kesakitan (skor yang lebih rendah bermakna kurang sakit)

Peningkatan sebanyak 3% (1% lebih baik ke 5% lebih baik), atau 3.2 mata (1 lebih baik ke 5.4 lebih baik) pada skala 0- hingga 100-mata.

• Orang yang mengambil paracetamol melaporkan kesakitan mereka telah bertambah baik sebanyak 26 mata.

• Orang yang mengambil plasebo melaporkan kesakitan mereka telah bertambah baik sebanyak 23 mata.

Fungsi fizikal (skor lebih rendah bermaksud fungsi lebih baik)

Peningkatan sebanyak 3% (1% lebih baik ke 5% lebih baik), atau 2.9 mata (1.0 lebih baik ke 4.9 lebih baik) pada skala 0- hingga 100-mata.

• Orang yang mengambil paracetamol melaporkan fungsi mereka telah bertambah baik sebanyak 15 mata.

• Orang yang mengambil plasebo melaporkan fungsi mereka telah bertambah baik sebanyak 12 mata.

Kesan sampingan (sehingga 12 ke 24 minggu)

Tiada orang mengalami kesan sampingan dengan paracetamol (3% kurang hingga 3% lebih), atau 0 daripada 100.

• 33 daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan dengan paracetamol.

• 33 daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan dengan plasebo.

Kesan sampingan serius (sehingga 12 ke 24 minggu)

1% lebih ramai orang mempunyai kesan sampingan serius dengan paracetamol (0% kurang hingga 1% lebih), atau satu lagi lebih ramai orang daripada 100.

• Dua daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan serius dengan paracetamol.

• Satu daripada 100 orang melaporkan kesan sampingan serius dengan plasebo.

Penarikan diri kerana kesan sampingan buruk (sehingga 12 ke 24 minggu)

1% lebih ramai orang menarik diri dari rawatan dengan paracetamol (1% kurang hingga 3% lebih), atau satu lagi lebih ramai orang daripada 100.

• Lapan daripada 100 orang menarik diri dari rawatan paracetamol.

• Tujuh daripada 100 orang menarik diri dari rawatan plasebo.

Ujian fungsi hati yang abnormal (sehingga 12 ke 24 minggu):

5% lebih ramai orang mempunyai ujian fungsi hati yang abnormal (bermakna terdapat keradangan atau kerosakan pada hati) dengan paracetamol (1% lebih ke 10% lebih), atau lima lagi lebih ramai orang daripada 100.

• Tujuh daripada 100 orang mempunyai ujian fungsi hati yang abnormal dengan paracetamol.

• Dua daripada 100 orang mempunyai ujian fungsi hati yang abnormal dengan plasebo.

Kualiti bukti

Bukti berkualiti tinggi menunjukkan paracetamol hanya memberikan penambahbaikan minima dalam kesakitan dan fungsi bagi orang yang mempunyai osteoartritis pinggul atau lutut, tanpa peningkatan risiko pada keseluruhan kesan sampingan. Tiada kajian yang telah mengukur kualiti kehidupan. Oleh sebab bilangan kejadian yang kecil, pengulas kurang pasti jika penggunaan paracetamol meningkatkan risiko kesan sampingan yang serius, menambahkan bilangan yang penarikan diri kerana kesan-kesan sampingan, dan menukarkan kadar ujian fungsi hati yang abnormal. Namun demikian, walaupun mungkin terdapat lebih banyak ujian fungsi hati yang abnormal dengan paracetamol, implikasi klinikalnya adalah tidak diketahui.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information