Rawatan untuk sawan epilepsi ‘catamenial’ (berkaitan dengan haid)

Latar belakang

Epilepsi ‘catamenial’ (haid) menerangkan sawan yang bertambah buruk yang dikaitkan dengan edaran haid dan boleh mempengaruhi kira-kira 40% wanita dengan epilepsi. Terdapat masa-masa tertentu di dalam edaran haid apabila wanita paling berisiko: pada hari yang menghampiri tempoh haid dan semasa haid (‘perimenstrual’ atau corak ‘catamenial’ jenis 1); pada masa ovulasi (corak ‘catamenial’ jenis 2); dan di dalam separuh kedua edaran mereka (fasa luteal atau corak ‘catamenial’ jenis 3). Peningkatan risiko ini mungkin berkait dengan perubahan paras progesteron (hormon yang dikeluarkan oleh ovari)i pada masa haid dan pertambahan estrogen pada masa ovulasi. Kajian di dalam haiwan menunjukkan progesteron yang lebih rendah boleh mempengaruhi cara otak bertindak balas terhadap asid gamma-Aminobutyric (GABA), di mana ia penting dalam mencegah sawan. Hubungan antara paras estrogen yang tinggi dan risiko sawan masih tidak jelas.

Rawatan epilepsi ‘catamenial’ semasa bergantung kepada sama ada seorang wanita mempunyai tempoh haid yang regular atau tidak regular. Jika seorang wanita mempunyai haid yang regular, rawatan hormon (misalnya penambahan progesteron) dan bukan hormon (misalnya clobazam atau acetazolamide) yang diambil sebelum dan semasa haid boleh digunakan. Dalam kalangan wanita dengan haid yang tidak regular, dan tidak dapat meramalkan tempoh masa haid mereka, menghentikan haid dengan hormon sintetik (misalnya medroxyprogesterone (Depo-Provera) atau analog hormon yang melepaskan gonadotropin (GnRH) (triptorelin dan goserelin)) adalah rawatan pilihan.

Epilepsi ‘catamenial’ adalah lazim dalam kalangan wanita dengan epilepsi, dan mungkin mempunyai impak negatif ketara dalam kualiti hidup. Wanita mungkin tidak menerima rawatan yang sewajarnya untuk sawan ‘catamenial’ mereka. Terdapat ketidakpastian tentang rawatan mana yang paling berkesan dan bila rawatan patut diambil dalam edaran haid . Terdapat juga kebimbangan tentang impak ke atas kesuburan, edaran haid, kesihatan tulang, dan kesihatan kardiovaskular. Ulasan ini bertujuan untuk menangani isu-isu ini untuk memaklum amalan klinikal dan penyelidikan masa depan.

Objektif

Ulasan ini bertujuan mengkaji keberkesanan rawatan hormon dan bukan hormon untuk menghentikan sawan dalam kalangan wanita dengan epilepsi ‘catamenial’.

Kaedah

Kami mencari pangkalan data elektronik untuk mencari kajian yang relevan di mana rawatan dilanjutkan sekurang-kurangnya 12 minggu. Hasil kami adalah: purata perubahan sawan, peratusan wanita yang mencapai sekurang-kurangnya 50% pengurangan sawan, dan peratusan wanita yang bebas sawan. Kami juga memeriksa sebab-sebab mengapa wanita berhenti dari kajian dan apa-apa kesan-kesan sampingan yang dilaporkan.

Keputusan

Kami memasukkan empat kajian terkawal secara rawak (kajian di mana peserta secara rawak ditugaskan untuk satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) rawatan hormon dalam ulasan, dua kajian menilai progesteron dan dua menilai norethisterone. Di dalam kesemua kajian tersebut, rawatan dibandingkan dengan plasebo (pil gula yang tidak memudaratkan). Kami tidak menemui sebarang kajian yang menguji rawatan bukan hormon atau sebarang kajian dalam kalangan wanita dengan haid yang tidak regular. Keempat kajian itu merangkumi sejumlah 192 wanita berusia antara 13 dan 45 tahun yang mengalami epilepsi katamenial. Kajian yang disertakan tidak menunjukkan sebarang perbezaan ketara antara kumpulan apabila membandingkan progesteron atau norethisterone dengan plasebo untuk hasil sawan. Kajian yang disertakan melaporkan maklumat yang terhad tentang kesan sampingan, tetapi wanita yang mengambil progesteron tidak lebih cenderung untuk menarik diri daripada kajian akibat kesan sampingan berbanding plasebo.

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2021.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah hingga sederhana, kerana kajian yang disertakan menyediakan maklumat yang tidak jelas tentang kaedah pembutaan, merekrut bilangan peserta yang kecil, dan tidak konsisten dalam melaporkan hasil rawatan.

Kesimpulan

Kami mendapati banyak bukti kepastian rendah lagi terhad, tiada perbezaan dalam hasil sawan untuk norethisterone dan progesteron berbanding plasebo dalam kalangan wanita dengan epilepsi catamenial. Ulasan kami menekankan kekurangan maklumat keseluruhan tentang keberkesanan pelbagai rawatan hormon dan bukan hormon lain yang sedang digunakan. Kajian lebih lanjut pada wanita dengan epilepsi katamenial diperlukan di bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information