Terapi tekanan saluran udara positif tidak invasif untuk memperbaiki disfungsi ereksi dalam lelaki dengan apnea tidur obstruktif

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai keberkesanan dan penerimaan terapi tekanan saluran udara positif tidak invasif untuk memperbaiki disfungsi ereksi (ED) dalam lelaki dengan apnea tidur obstruktif (OSAS).

Latar belakang

OSAS adalah keadaan klinikal yang mana halangan berulang pada tekak yang berlaku semasa tidur, menyebabkan berhenti bernafas. Disfungsi ereksi adalah kegagalan seorang lelaki untuk mencapai dan mengekalkan ereksi yang mencukupi untuk membolehkan aktiviti seksual yang memuaskan. Kaitan OSAS dan ED adalah jauh lebih lazim daripada yang mungkin dijumpai secara kebetulan.

Terapi tekanan saluran udara positif tidak invasif adalah alat yang disambungkan ke topeng muka yang menyampaikan oksigen. Alat ini membantu udara memasuki saluran udara dan membantu pernafasan. Terdapat pelbagai jenis alat termasuk tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP), tekanan saluran udara positif dwitahap (BiPAP),atau tekanan saluran udara positif berubah (VPAP). CPAP dikenali dengan meluas sebagai rawatan pertama untuk OSAS. Walau bagaimanapun, adalah tidak pasti sama ada CPAP atau alat terapi tekanan saluran udara positif tidak invasif yang lain mempunyai kesan terhadap ED yang dialami oleh lelaki dengan OSAS.

Tarikh carian

Kali terakhir kami mencari bukti pada 14 Jun 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan enam kajian, yang melibatkan 315 lelaki dengan OSAS dan ED. Mereka membandingkan penggunaan CPAP dengan sama ada: tiada CPAP; dengan alat palsu (alat yang serupa dengan CPAP tanpa tekanan positif, sebagai plasebo); atau dengan penyekat fosfodiesterase jenis 5 (ubat oral pertama untuk rawatan ED), selama sekurang-kurangnya sebulan. Kami menilai hasil-hasil utama yang berikut (remisi ED dan peristiwa buruk yang serius); dan hasil-hasil sekunder (kualiti hidup berkaitan seks, kualiti hidup berkaitan kesihatan, dan peristiwa buruk kecil).

Keputusan utama

Alat CPAP berbanding tiada CPAP

Kami tidak pasti mengenai kesan CPAP terhadap disfungsi ereksi selepas 4 dan 12 minggu, dan terhadap kualiti hidup berkaitan seks selepas 12 minggu. Tiada kumpulan melaporkan sebarang kesan sampingan yang serius selepas 12 minggu.

CPAP berbanding CPAP palsu

Satu kajian (61 peserta) membandingkan CPAP dengan alat palsu, tetapi kami tidak dapat menganalisis data kerana reka bentuk dan pelaporan kajian ini.

CPAP berbanding sildenafil (penyekat fosfodiesterase jenis 5)

Sildenafil mungkin memperbaiki fungsi ereksi dan kualiti kesihatan berkaitan seks lebih daripada CPAP selepas 12 minggu berbanding dengan penyekat fosfodiesterase 5 (sildenafil). Tiada kumpulan melaporkan kesan sampingan yang serius; kedua-dua kumpulan melaporkan beberapa kesan sampingan yang kecil, sementara selepas 12 minggu.

Kualiti bukti

Kami tidak pasti mengenai keputusan tersebut, kerana batasan dalam cara kajian-kajian itu dilakukan, saiz sampel yang kecil, dan keputusan yang kurang tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiicd.edu.my

Tools
Information