Terapi tingkah laku kognitif untuk keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda

Mengapa ulasan ini penting?

Ramai kanak-kanak dan orang muda mengalami masalah keresahan. Kanak-kanak dan orang muda dengan gangguan keeesahan lebih cenderung daripada rakan sebaya mereka mengalami kesukaran persahabatan, kehidupan keluarga, dan sekolah, dan mendapat masalah kesihatan mental di kemudian hari. Terapi seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT) boleh membantu kanak-kanak dan orang muda menangani kesukaran keresahan mereka menggunakan cara berfikir baharu dan menghadapi ketakutan mereka.

Siapakan yang akan berminat dalam ulasan ini?

Ibu bapa, kanak-kanak dan orang muda; orang yang bekerja dalam pendidikan dan perkhidmatan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan orang muda; dan pengamal am.

Apakah persoalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini mengemas kini dan menggantikan Ulasan Cochrane terdahulu dari tahun 2005 dan 2015, yang menunjukkan CBT adalah rawatan yang berkesan untuk kanak-kanak dan orang muda dengan gangguan keresahan.

Ulasan ini bertujuan untuk menjawab persoalan berikut:

• Adakah CBT lebih berkesan berbanding senarai menunggu atau tiada terapi?

• Adakah CBT lebih berkesan daripada rawatan dan ubat lain?

• Adakah CBT membantu mengurangkan keresahan bagi kanak-kanak dan orang muda dalam jangka masa panjang?

• Adakah sesetengah jenis CBT lebih berkesan daripada yang lain? (seperti terapi individu berbanding kumpulan)

• Adakah CBT berkesan untuk kumpulan tertentu? (seperti kanak-kanak autisme)

Kajian mana yang dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data untuk semua kajian CBT dengan gangguan keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang terbit sehingga Oktober 2019. Untuk dimasukkan dalam ulasan, kajian harus rawak terkawal (sejenis kajian di mana para peserta diletakkan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) dan harus melibatkan orang muda di bawah 19 tahun dengan diagnosis gangguan keresahan. Kami memasukkan 87 kajian melibatkan sejumlah 5964 peserta di dalam analisis ini.

Apakah yang diberitahu oleh bukti ulasan ini?

Kami menilai kualiti keseluruhan bukti sebagai ‘sederhana’ atau ‘rendah’. Terdapat bukti CBT lebih berkesan daripada senarai menunggu atau tiada rawatan bagi mengurangkan keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda, walaupun penemuan-penemuan berbeza merentasi kajian-kajian. Tiada bukti jelas CBT lebih berkesan daripada rawatan lain. Sebilangan kecil kajian melihat hasil enam bulan selepas CBT diberi dan menunjukkan pengurangan keresahan berterusan. Kami tidak menemui bukti jelas satu cara CBT lebih berkesan daripada yang lain (contohnya dalam kumpulan, rawatan yang lebih panjang, dengan ibu bapa) atau CBT lebih atau kurang berkesan untuk kumpulan spesifik kanak-kanak (contohnya, kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme) .

Apakah yang harus berlaku seterusnya?

Penyelidikan masa depan harus membandingkan CBT dengan rawatan dan ubat alternatif; mengenal pasti siapa yang mendapat dan tidak mendapat manfaat CBT dan apa yang diperlukan oleh mereka yang tidak mendapat manfaat; bagaimana membuat akses CBT lebih mudah; dan memberi lebih pertimbangan kepada populasi terabai, termasuk kanak-kanak dan orang muda dari negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information