Penguat yang berasal dari susu manusia dalam kalangan bayi pramatang yang diberi susu ibu

Soalan ulasan: Dalam bayi pramatang yang hanya diberi susu ibu, adakah penggunaan nutrien tambahan (untuk memberi protein dan tenaga tambahan) yang diperbuat daripada susu manusia berbanding nutrien daripada susu lembu mengurangkan peluang dihidapi penyakit, kematian atau meningkatkan pertumbuhan?

Latar belakang: Bayi pramatang yang diberi susu ibu memerlukan tenaga dan protein tambahan untuk menyokong pertumbuhan mereka. Oleh itu, nutrien (penguat pelbagai nutrien) ditambah kepada susu ibu. Adalah tidak jelas jika nutrien yang dihasilkan daripada susu manusia, berbanding dengan nutrien yang dihasilkan daripada susu lembu, mengurangkan risiko kematian dan penyakit lain, dan meningkatkan pertumbuhan dalam kalangan bayi pramatang yang hanya diberi susu ibu.

Ciri-ciri kajian: Kami mendapati satu kajian yang dilakukan dengan baik yang mendaftarkan 127 bayi untuk menangani soalan ini. Bukti adalah terkini sehingga 20 September 2018.

Keputusan utama: Penggunaan nutrien yang dihasilkan daripada susu manusia, apabila dibandingkan dengan nutrien yang dihasilkan daripada susu lembu, tidak mengurangkan risiko penyakit usus (necrotizing enterocolitis), masalah pemakanan, kematian, jangkitan, atau peningkatan pertumbuhan dalam kalangan bayi pramatang yang diberi susu ibu.

Kesimpulan: Nutrien yang dihasilkan daripada susu manusia (penguat pelbagai nutrien), apabila dibandingkan dengan nutrien yang dihasilkan daripada susu lembu, mungkin tidak mengubah berlakunya penyakit atau meningkatkan pertumbuhan bayi pramatang yang hanya diberi susu ibu. Bukti ini adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan sama ada nutrien yang dihasilkan daripada susu manusia (penguat pelbagai nutrien) apabila diberikan kepada bayi pramatang yang hanya diberi susu ibu adalah berfaedah atau tidak. Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk menangani soalan penting ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information