Terapi ubat perangsang dan bukan perangsang untuk orang yang mengalami gangguan hiperaktif kurang tumpuan dan epilepsi

Apakah tujuan utama ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat perangsang dan bukan perangsang adalah berkesan dan selamat dalam merawat orang yang mengalami kedua-dua Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) dan epilepsi. Penulis Ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkenaan untuk menjawab soalan ini.

Latar belakang

Epilepsi adalah penyakit di mana otak cenderung untuk menghasilkan sawan. ADHD adalah keadaan di mana kehidupan seharian dipengaruhi oleh kurang tumpuan, hiperaktif dan impulsif. Ia adalah biasa bagi seseorang yang menghidap epilepsi juga mempunyai diagnosis ADHD. Kedua-dua diagnosis ini bersama-sama boleh memberi kesan negatif terhadap pendidikan, pekerjaan dan hubungan keluarga dan sosial.

ADHD boleh diuruskan dengan terapi ubat. Ini terdiri daripada ubat perangsang seperti methylphenidate dan ubat bukan perangsang seperti atomoxetine. Ubat-ubatan ini bertindak pada neurotransmitter yang berbeza dalam otak untuk meningkatkan tumpuan dan kawalan impuls. Adalah dicadangkan bahawa ubat perangsang, terutamanya methylphenidate, boleh memburukkan epilepsi atau menyebabkan sawan. Kedua-dua ubat perangsang dan bukan perangsang terus diberi dengan amaran bahawa ia mungkin memburukkan lagi sawan.

Kami tidak tahu sama ada ubat perangsang dan bukan perangsang adalah berkesan dan selamat dalam merawat penghidap ADHD dan epilepsi. Kami juga tidak tahu sama ada ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan yang tidak boleh diterima yang menghalang orang daripada mengambilnya setiap hari.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui dua kajian berkaitan yang melibatkan kanak-kanak dengan kedua-dua ADHD dan epilepsi: satu kajian Amerika melihat sistem pelepasan osmotik oral methylphenidate (OROS-MPH) dan dibiayai oleh geran kerajaan; satu kajian Iran melihat omega-3 dan dibiayai oleh geran universiti.

Dalam kajian pertama, kanak-kanak di klinik pesakit luar Amerika menerima sama ada OROS-MPH dos yang semakin tinggi atau plasebo. Kajian ini mencadangkan bahawa kanak-kanak yang menerima OROS-MPH:

• mungkin mempunyai peningkatan risiko sawan dengan dos OROS-MPH yang lebih tinggi, walaupun kami tidak pasti tentang perkara ini.

• berkemungkinan dua kali ganda untuk berhenti mengambil OROS-MPH disebabkan oleh kesan sampingan (cth memburukkan ketakstabilan emosi dan sawan), walaupun kami hanya berkeyakinan sederhana dengan keputusan ini.

• mungkin menambahbaik gejala ADHD mereka, walaupun kami tidak pasti tentang ini.

Dalam kajian kedua, kanak-kanak di klinik pesakit luar Iran menerima sama ada omega-3, ubat anti-psikotik risperidone dan ubat anti-sawan biasa (ASM) atau risperidone dan ASM biasa sahaja. Kajian ini mencadangkan bahawa kanak-kanak yang menerima omega-3:

• mungkin mempunyai kurang sawan (kanak-kanak yang menerima omega-3 mempunyai enam atau tujuh kurang sawan sebulan secara purata berbanding dengan kanak-kanak yang tidak menerima omega-3), walaupun kami tidak pasti mengenainya.

• mungkin kurang berkemungkinan untuk berhenti mengambil omega-3 kerana kesan sampingan (mengantuk, cirit-birit dan loya dan muntah), walaupun kiami tidak pasti tentang mengenainya. Walau bagaimanapun, kesan omega-3 berbeza-beza, dan ada kemungkinan bahawa omega-3 membuat sedikit atau tiada perbezaan.

Penulis ulasan tidak menemui sebarang kajian yang melihat kesan omega-3 pada gejala ADHD.

Penulis ulasan tidak menemui sebarang kajian yang melihat orang dewasa dengan ADHD dan epilepsi, dan lain-lain jenis ubat perangsang dan bukan perangsang.

Mesej utama

Ubat perangsang OROS-MPH boleh menambahbaik gejala ADHD tetapi juga boleh meningkatkan risiko kejadian buruk seperti sawan dan ketakstabilan emosi. Dadah bukan perangsang omega-3 mungkin selamat untuk digunakan oleh kanak-kanak dengan kedua-dua ADHD dan epilepsi; namun, kami tidak tahu sama ada ia berkesan dalam merawat gejala ADHD. Kesimpulan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana bias kajian, ukuran hasil tidak langsung, bilangan kejadian yang kecil dan selang keyakinan yang besar. Kami masih memerlukan lebih banyak kajian berkualiti tinggi termasuk kajian yang melibatkan orang dewasa dengan kedua-dua ADHD dan epilepsi dan lebih banyak jenis ubat perangsang dan bukan perangsang.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Bt Mohd Nasir@Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu

Tools
Information