Rawatan manakah yang melibatkan seluruh badan yang paling berkesan untuk merawat tindak balas kulit yang teruk (sindrom Stevens-Johnson dan nekrolisis epidermis toksik)?

Mesej utama

Merawat tindak balas kulit yang teruk dengan etanercept (ubat yang bertindak mengurangkan bahagian tertentu pada sistem imun), dan bukannya steroid (yang secara meluas mengurangkan sistem imun), boleh mengakibatkan bilangan kematian yang lebih rendah akibat sindrom Stevens-Johnson dan epidermis toksik nekrolisis.

Kami tidak pasti tentang keberkesanan rawatan lain, seperti steroid dan siklosporin (ubat yang bertindak pada sistem imun) atau imunoglobulin (antibodi yang dihasilkan secara semula jadi). Kami memerlukan lebih banyak kajian merentasi berbilang tempat yang membandingkan keberkesanan dan keselamatan rawatan yang paling penting.

Apakah yang menyebabkan tindak balas kulit yang teruk?

Ubat-ubatan tertentu boleh mencetuskan tindak balas kulit yang teruk yang dikenali sebagai sindrom Stevens-Johnson (SJS), keadaan yang lebih teruk yang dikenali sebagai nekrolisis epidermis toksik (TEN), atau sindrom pertindihan (SJS/TEN). Lepuh kulit yang besar terbentuk, yang meninggalkan luka yang menyakitkan. Kulit yang terjejas akhirnya mengelupas (nekrosis). Kes jarang berlaku, tetapi boleh membawa maut jika ia membawa kepada jangkitan atau masalah yang menjejaskan organ lain.

Reaksi kulit yang teruk adalah kecemasan perubatan, dan memerlukan rawatan di hospital, selalunya dalam rawatan rapi atau unit melecur. Rawatan termasuk penjagaan sokongan, seperti cecair dan pemakanan, penjagaan luka, dan ubat penahan sakit.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Sebagai tambahan kepada penjagaan sokongan, rawatan yang diambil melalui mulut atau disuntik termasuk ubat-ubatan yang bertindak pada sistem imun (cth etanercept) dan imunoglobulin intravena (antibodi).

Kami ingin mengetahui sejauh mana rawatan ini berfungsi untuk merawat tindak balas kulit yang teruk.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian tentang semua rawatan yang digunakan pada masa ini yang diambil melalui mulut atau disuntik untuk merawat SJS, TEN, atau pertindihan SJS/TEN. Kami berminat dengan kajian yang membandingkan salah satu daripada rawatan ini dengan yang lain, atau terhadap rawatan sokongan sahaja untuk menentukan sama ada satu rawatan itu berfungsi lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 9 kajian dalam 308 orang (dewasa dan beberapa kanak-kanak), yang berlaku di India, Eropah, China, dan Taiwan. Kami menemui tiga kajian rawak terkawal (RCTs) (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan). Enam kajian lain memerhati keberkesanan rawatan berbanding yang lain, tanpa memberikan rawatan secara rawak kepada peserta (kajian pemerhatian). Kebanyakan pesakit dalam kajian (yang dilaporkan) mempunyai tahap keterukan penyakit yang sederhana, dengan 44% hingga 51% kawasan permukaan badan mereka terjejas oleh ruam. Kajian telah ditetapkan di unit melecur, unit rawatan rapi dan wad hospital pesakit dalam.

Keputusan utama

Bukti yang membandingkan tiada steroid dengan steroid datang daripada hanya 2 kajian pemerhatian dalam 56 orang; kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana kurang yakin terhadap bukti: secara purata, daripada 1000 orang yang diberi steroid, 232 orang berisiko untuk mati, berbanding dengan 91 daripada setiap 1000 yang tidak diberi steroid. Bilangan hari untuk penyembuhan kulit sepenuhnya dan tempoh tinggal di hospital adalah tidak dilaporkan.

Bukti membandingkan imunoglobulin dengan tiada imunoglobulin datang daripada hanya 1 kajian pemerhatian dalam 36 orang; kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana kurang yakin terhadap bukti: secara purata, daripada 1000 orang yang diberi imunoglobulin, 55 orang berisiko untuk mati, berbanding dengan 167 daripada setiap 1000 yang tidak diberikan imunoglobulin. Kulit orang yang diberi imunoglobulin sembuh hampir tiga hari lebih cepat, dan orang menghabiskan dua hari lebih sedikit di hospital.

Berbanding dengan steroid, etanercept boleh mengurangkan bilangan orang yang mati: secara purata, bagi setiap 1000 orang yang diberikan etanercept, 83 orang akan mati akibat komplikasi reaksi kulit yang teruk (biasanya jangkitan), berbanding dengan 163 daripada setiap 1000 orang yang diberikan steroid (bukti daripada 1 RCT dalam 91 peserta). Kesan sampingan yang tidak diingini (seperti masalah pernafasan atau jangkitan teruk) berlaku dalam kedua-dua kumpulan kajian etanercept dan steroid, tetapi tidak jelas sama ada ia menyebabkan peserta menghentikan rawatan. Kajian lain tidak melaporkan kesan tidak diingini yang membawa kepada pemberhentian rawatan. Bilangan hari untuk penyembuhan kulit sepenuhnya dan tempoh tinggal di hospital adalah tidak dilaporkan.

Bukti membandingkan siklosporin dengan imunoglobulin datang daripada hanya 1 kajian pemerhatian dalam 22 orang; kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana kurang yakin terhadap bukti: secara purata, daripada 1000 orang yang diberi siklosporin, 65 orang berisiko untuk mati, berbanding dengan 500 daripada setiap 1000 orang yang diberikan siklosporin. Bilangan hari untuk penyembuhan kulit sepenuhnya dan tempoh tinggal di hospital adalah tidak dilaporkan.

Tiada kajian yang mengukur tempoh tinggal di unit rawatan rapi.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami tidak yakin dengan keputusan kami kerana ia datang dari beberapa kajian dengan bilangan peserta yang kecil. Dalam kebanyakan kajian, cara kajian dijalankan boleh mempengaruhi dapatan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Anisa Hanim Bt Mohd Nasir@Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information