Mengubah jangka masa yang dibenarkan untuk seseorang pekerja bercuti akibat sakit tanpa sijil doktor

Apakah tujuan ulasan ini?

Untuk mengetahui kemungkinan pengaruh cuti sakit dengan mengubah jangka masa yang dibenarkan untuk bercuti tanpa sijil doktor. Kami mendapati lima kajian.

Mesej-mesej utama

Kami tidak pasti sama ada mengubah tempoh masa pekerja yang dibenarkan untuk bercuti kerana sakit tanpa sijil doktor mempunyai kesan ke atas tidak hadir bekerja, kerana kajian-kajian yang dimasukkan melaporkan hasil yang sangat berbeza, dan kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Cuti sakit menghalang seseorang daripada bekerja dan mungkin mengurangkan pendapatan dan mengakibatkan kos kepada majikan. Biasanya majikan perlukan doktor untuk perakuan cuti sakit. Ini mungkin tidak bermakna bagi kes-kes penyakit kurang teruk yang cepat sembuh dengan rehat. Perakuan sendiri cuti sakit telah digunakan di kebanyakan tempat kerja untuk tempoh cuti sakit satu hari sehingga dua minggu. Dalam kajian ini, kami menilai bagaimana perubahan dalam tempoh perakuan sendiri mempengaruhi purata bilangan cuti sakit, bilangan tempoh cuti sakit, dan amaun waktu kerja yang hilang di tempat kerja.

Mengapa topik ini penting?

Cuti sakit adalah mahal bagi masyarakat dan majikan. Majikan mungkin perlu membayar gaji pekerja yang sakit. Selepas kewajipan majikan membayar berakhir, insurans akan memberi perlindungan manfaat sakit. Mengubah amalan perakuan sakit dalam tempoh singkat dijangka mengubah sikap dan tingkah laku pekerja, kerjasama dan suasana tempat kerja, dan mengurangkan cuti sakit. Perakuan sendiri membolehkan lebih banyak sumber penjagaan kesihatan diguna untuk tujuan lain.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati lima kajian yang dijalankan antara 1969 dan 2014. Satu kajian menilai kesan memanjangkan tempoh perakuan sendiri dalam kalangan semua pekerja yang diinsurans di sebuah bandar besar di sebuah rantau di Sweden pada 1988. Tiga kajian menilai kesan memanjangkan tempoh perakuan sendiri untuk pekerja di beberapa bandar di Norway. Satu kajian menilai kesan memperkenalkan perakuan sendiri dalam satu organisasi di UK pada 1969. Tempoh peserta dalam kumpulan intervensi dibenarkan cuti tanpa perakuan doktor adalah di antara tiga hari hingga satu tahun. Kajian-kajian yang dimasukkan mengukur kesan ke atas purata bilangan cuti sakit, bilangan tempoh cuti sakit atau waktu kerja yang hilang akibat tempoh cuti sakit. Semua kajian membandingkan kesan perubahan dengan amalan biasa.

Kesan ke atas tempoh cuti sakit

Memanjangkan perakuan sendiri dari satu minggu hingga dua minggu telah meningkatkan purata tempoh cuti sakit. Memperkenalkan perakuan sendiri untuk maksimum tiga hari dapat mengurangkan purata cuti sakit sehingga tiga hari. Memanjangkan perakuan sendiri dari satu hingga tiga hari sehingga setahun tidak mengubah tempoh cuti sakit.

Kesan kepada bilangan tempoh cuti sakit

Memanjangkan perakuan sendiri dari satu minggu hingga dua minggu tidak mengubah bilangan tempoh cuti sakit. Memperkenalkan perakuan sendiri untuk maksimum tiga hari telah meningkatkan bilangan tempoh cuti sakit sehingga tiga hari. Memanjangkan perakuan sendiri dari tiga hari hingga satu tahun mengurangkan bilangan tempoh cuti sakit.

Kesan terhadap waktu kerja yang hilang

Memanjangkan perakuan sendiri dari satu minggu hingga dua minggu menyebabkan peningkatan waktu kerja yang hilang. Memanjangkan perakuan sendiri (dari sifar hari hingga tiga hari dan dari tiga hari hingga lima hari) boleh meningkatkan waktu kerja yang hilang akibat tempoh cuti sakit yang berlangsung sehingga tiga hari. Memanjangkan perkuan sendiri dari ≤ 3 hari hingga ≤ 50 hari dan dari ≤ 3 hari hingga ≤ 365 hari dapat megurangkan waktu kerja yang hilang akibat tempoh cuti sakit dari 4 hingga 16 hari dan melebihi > 16 hari.

Kos cuti sakit dan perakuan doktor

Kos manfaat cuti sakit akibat tempoh perakuan sendiri yang lebih panjang mungkin menyebabkan kira-kira enam kali ganda lebih besar berbanding kemungkinan pengurangan kos akibat kurang temu janji doktor.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian sehingga 14 Jun 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information