Betahistine untuk tinitus

Latar belakang

Tinitus merupakan bunyi 'berdering', 'whooshing' atau 'hiss' yang didengar dengan ketiadaan bunyi luaran. Antara 5% hingga 43% orang mengalami gejala ini dan bagi sesetengahnya ia mempunyai kesan negatif yang ketara terhadap kualiti hidup mereka. Tinitus boleh diuruskan melalui pendidikan dan nasihat, peranti preskripsi yang memperbaiki pendengaran, peranti di kaunter yang menghasilkan bunyi latar, terapi psikologi dan terapi relaksasi. Terapi ubat digunakan untuk menguruskan aduan yang berkaitan dengan tinitus seperti kesukaran tidur, keresahan atau kemurungan. Tiada terapi ubat wujud untuk menguruskan tinitus itu sendiri. Walau bagaimanapun, betahistine sering dipreskrib untuk tinitus. Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai bukti dari kajian klinikal yang berkualiti tinggi untuk mengatasi kesan betahistine terhadap tinitus. Kami ingin melihat kesan betahistine terhadap kenyaringan tinnitus dan kesan sampingan betahistine.

Ciri-ciri kajian

Ulasan kami mengenal pasti lima kajian rawak terkawal dengan jumlah 303 hingga 305 peserta yang mengalami tinitus. Kajian-kajian tersebut membandingkan peserta yang menerima betahistine dengan mereka yang menerima plasebo. Empat reka bentuk kajian memperuntukkan peserta ke dalam kumpulan selari. Dalam satu kajian, peserta bersetuju untuk mengambil semua ubat yang dikaji dalam urutan yang ditetapkan. Hasil yang kami nilai termasuk kenyaringan tinitus dan gangguan oleh tinitus, gejala tinitus dan kesan sampingan.

Keputusan utama

Kajian yang disertakan tidak menunjukkan perbezaan dalam kenyaringan tinitus, keterukan gejala tinitus atau kesan sampingan di antara peserta yang menerima betahistine dan peserta yang menerima plasebo. Tiada kesan sampingan signifikan dilaporkan. Kami telah merancang untuk menilai perubahan dalam gangguan oleh tinitus, kemurungan dan keresahan dan kualiti hidup, tetapi semua ini tidak diukur. Bukti menunjukkan secara umum betahistine diterima baik dengan risiko kesan sampingan yang sama dengan plasebo.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana hingga sangat rendah. Risiko bias di dalam semua kajian-kajian yang dimasukkan adalah tidak jelas. Keputusan hanya diambil daripada satu atau dua kajian sahaja. Dalam sesetengah kajian, peserta yang dimasukkan tidak mewakili sepenuhnya keseluruhan populasi orang dengan tinitus dan dengan itu kami tidak dapat membuat kesimpulan umum.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save