Antiseptik topikal berbanding antibiotik untuk orang dengan otitis media supuratif kronik

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada antiseptik topikal lebih berkesan daripada antibiotik dalam merawat otitis media supuratif kronik. Para penulis kajian mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Tiada banyak bukti yang membandingkan antiseptik topikal dengan antibiotik topikal. Bukti adalah sangat tidak pasti sama ada antibiotik atau antiseptik topikal lebih berkesan untuk mengurangkan discaj telinga, kecuali antibiotik topikal mungkin lebih berkesan daripada asid borik.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Otitis media supuratif kronik(CSOM) adalah jangkitan dan bengkak jangka panjang (kronik) telinga tengah, dengan discaj telinga (otorea) melalui membran timpanik yang tembus (gegendang telinga). Gejala utama CSOM adalah discaj telinga dan hilang pendengaran.

Antibiotik adalah rawatan yang lazim untuk CSOM. Antibiotik boleh sama ada 'topikal' (dimasukkan ke dalam liang telinga sebagai titisan telinga, salap, semburan atau krim) atau 'sistemik ' (diambil sama ada melalui mulut atau suntikan ke dalam otot atau vena). Antiseptik topikal (antiseptik yang diletak terus ke dalam telinga sebagai titisan telinga atau serbuk) adalah rawatan yang mungkin untuk CSOM. Kedua-dua antibiotik dan antiseptik membunuh atau menghentikan pertumbuhan mikro-organisma mikro yang mungkin bertanggungjawab untuk jangkitan.

Antibiotik dan antiseptik topikal boleh digunakan sendiri atau ditambah kepada rawatan lain untuk CSOM, seperti antibiotik atau pembersihan telinga (pembersihan aural). Adalah penting dalam ulasan ini untuk menilai sama ada terdapat sebarang kesan buruk menggunakan antibiotik dan antiseptik. Peristiwa buruk yang mungkin termasuklah kerengsaan kulit di telinga luar, yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, sakit atau gatal. Sesetengah antibiotik dan antiseptik (seperti alkohol) juga boleh menjadi toksik kepada telinga dalam (ototoksisiti), yang bermaksud ia boleh menyebabkan hilang pendengaran yang tidak dapat dipulihkan (sensorineural), pening atau berdering di dalam telinga (tinitus).

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami mendapati tujuh kajian dengan 935 peserta. Kami mendapati bukti untuk empat jenis antiseptik topikal: asid asetik, aluminium asetat, asid borik dan iodin povidon.

Perbandingan antibiotik dengan asid asetik, aluminium asetat atau iodin povidon

Berbanding asid asetik, aluminium asetat dan iodin povidon adalah sangat tidak pasti sama ada antibiotik topikal atau antibiotik sistemik memperbaiki masalah discaj telinga dalam kalangan pesakit CSOM kerana kepastian bukti yang sangat rendah. Adalah tidak mungkin untuk mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara kumpulan untuk sebarang hasil lain.

Perbandingan antibiotik dengan asid borik

Kami memasukkan dua kajian (532 peserta), yang menunjukkan bukti antibiotik topikal (quinolone) mungkin lebih baik daripada asid borik untuk menyelesaikan discaj telinga pada satu hingga dua minggu. Mungkin juga kurang ketidakselesaan telinga (sakit, kerengsaan dan perdarahan) dan pendengaran bertambah baik dengan antibiotik topikal berbanding asid borik.

Adakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga April 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my

Tools
Information
Share/Save