Antibiotik setempat atau antibiotik yang mensasarkan seluruh badan: yang manakah berfungsi lebih baik untuk merawat otitis media supuratif kronik (jangkitan telinga berterusan atau berulang dengan discaj)?

Mengapakah soalan ini penting?

Otitis media supuratif kronik (CSOM), juga dikenali sebagai otitis media kronik (COM), ialah peradangan dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Orang dengan CSOM biasanya mengalami discaj berulang atau berterusan - cecair yang keluar dari lubang atau koyakan di gegendang telinga - dan kehilangan pendengaran.

Antibiotik (ubat yang melawan jangkitan bakteria) adalah rawatan yang paling biasa untuk CSOM. Antibiotik boleh:

- disapu pada bahagian badan (setempat) dalam bentuk titisan, semburan, salap atau krim (antibiotik topikal); atau
- merawat seluruh badan (antibiotik sistemik) apabila disuntik, atau diambil secara oral (melalui mulut).

Untuk mengetahui sama ada antibiotik topikal atau sistemik lebih baik untuk merawat CSOM, dan sama ada ia mempunyai kesan buruk (tidak diingini) yang berbeza, pengulas mengkaji bukti daripada kajian penyelidikan.

Bagaimana pengulas mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, pengulas mencari literatur perubatan untuk kajian yang mengikuti orang dewasa atau kanak-kanak dengan CSOM sekurang-kurangnya satu minggu dan membandingkan:

- bentuk topikal dan sistemik antibiotik yang sama; atau
- antibiotik topikal terhadap antibiotik sistemik yang berbeza.

Pengulas kemudian membandingkan hasilnya dan meringkaskan bukti daripada semua kajian. Akhir sekali, pengulas menilai keyakinan mereka terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan ukuran kajian, dan konsistensi penemuan dalam seluruh kajian.

Apa yang pengulas temui?

Pengulas menemui enam kajian yang melibatkan sejumlah 445 orang. Pesakit dirawat dengan antibiotik selama antara lima hari dan dua minggu, dan diikuti hingga 21 hari. Kajian dilakukan di Sepanyol (tiga kajian), Itali (dua kajian) dan Hong Kong (satu kajian). Tiga kajian memberikan maklumat mengenai cara mereka dibiayai atau pihak yang membekalkan ubat-ubatan: satu kajian menerima dana dari universiti, dan dalam dua kajian ubat-ubatan diberikan oleh syarikat farmaseutikal.

Kajian membandingkan:

- titisan telinga kuinolon terhadap kuinolon oral (empat kajian);
- titisan telinga kuinolon terhadap suntikan aminoglikosida (satu kajian);
- titisan telinga ofloxacin terhadap amoksisilin-asid klavulanik oral (satu kajian).

Titisan telinga kuinolon berbanding dengan kuinolon yang diambil secara oral

Berbanding dengan kuinolon oral, titisan telinga kuinolon dapat meningkatkan sedikit kemungkinan kesembuhan discaj telinga setelah satu hingga dua minggu. Pengulas tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara dua rawatan untuk:

- pendengaran;
- sakit telinga;
- komplikasi serius seperti kelumpuhan muka (kelemahan otot di muka);
- meningitis (keradangan cecair dan membran dalam otak); atau
- ototoksisiti (apabila seseorang mengalami masalah pendengaran atau keseimbangan kerana ubat).

Ini kerana sama ada tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai kesan ini, atau pengulas kurang yakin dengan bukti yang ada.

Titisan telinga kuinolon berbanding dengan suntikan aminoglikosida

Pengulas tidak tahu sama ada titisan telinga kuinolon lebih baik atau lebih teruk daripada suntikan aminoglikosida untuk merawat CSOM. Hanya satu kajian yang menyiasatnya dan bukti yang kuat tidak mencukupi.

Titisan telinga ofloxacin terhadap amoksisilin-asid klavulanik oral

Pengulas idak tahu sama ada titisan telinga ofloxacin lebih baik atau lebih teruk daripada amoxicillin-asid klavulanik oral untuk merawat CSOM. Hanya satu kajian yang menyiasatnya dan bukti yang kuat tidak mencukupi.

Tidak ada kajian yang melaporkan maklumat mengenai kesan rawatan yang berbeza ke atas discaj telinga setelah empat minggu atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.

Apakah maksud ini?

Antibiotik topikal mungkin lebih berkesan daripada antibiotik sistemik untuk menyelesaikan masalah discaj telinga. Pengulas tidak tahu sama ada antibiotik sistemik atau topikal lebih baik untuk meningkatkan pendengaran. Pengulas memerlukan lebih banyak bukti daripada kajian yang kukuh untuk dapat membandingkan kesan antibiotik topikal dan sistemik terhadap aspek seperti kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau sakit telinga. Pengulas juga memerlukan lebih banyak maklumat mengenai kesan buruk.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information