Rawatan untuk komplikasi pergigian dan ortodontik dikalangan penghidap talasemia


Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai cara terbaik untuk merawat masalah pergigian dan ortodontik dikalangan pesakit talasemia.

Latarbelakang

Sel darah merah membuat pigmen pembawa oksigen yang dikenali sebagai hemoglobin. Pesakit talasemia mempunyai hemoglobin yang tidak normal, disebabkan oleh kecacatan (mutasi) pada dua jenis gen yang khusus, yang membawa kepada klasifikasi alfa (α) atau beta (β) talasemia. Lebih kurang 5% daripada penduduk dunia adalah pembawa mutasi yang menyebabkan gen α-globin berfungsi hanya sebahagian atau tidak sama sekali, manakala untuk gen β-globin pula kadar pembawa adalah kira-kira 1.5%, lebih daripada jutaan pembawa dikenalpasti setiap tahun bagi kedua dua gen ini. Kedua-dua jenis talasemia ini kebanyakannya ditemui di negara-negara yang membentuk talipinggang benua yang merentasi sub-Saharan Afrika, melalui rantau Mediterranean dan Timur Tengah, ke Asia Selatan dan Asia Tenggara. Pada masa ini, disebabkan pergerakkan penduduk berlaku dari negara ke negara lain, penyakit ini kini ditemui juga di banyak bahagian lain di dunia.

Apabila seseorang mewarisi dua salinan gen mutasi, hemoglobin tidak normal yang terbentuk di dalam sel darah merah tidak dapat membawa dan memberi oksigen secara normal kepada tisu-tisu badan, menyebabkan terjadinya simptom-simptom talasemia. Sel-sel yang tidak normal ini bertambah di dalam organ-organ badan dan sel sum-sum tulang, menyebabkan kerosakan tisu dan kematian sel. Ini membawa kepada anemia, iaitu kekurangan sel darah merah. Kekurangan oksigen oleh anemia boleh menghentikan organ dari berfungsi secara normal, bergantung kepada keterukan keadaan, transfusi darah selalunya diperlukan untuk membetulkan kekurangan sel darah merah. Tubuh akan cuba mengimbangi anemia ini secara semulajadi dengan meningkatkan bilangan penghasilan sel darah merah yang menyebabkan pengembangan ruang sum-sum tulang. Di dalam tulang tengkorak, tulang pipi dan tulang rahang, pembesaran sum-sum tulang ini membawa kepada pembengkakan tulang yang tak normal, yang mengakibatkan kecacatan pada rahang dan gigi yang tidak berada dalam kedudukan yang betul (dikenali sebagai malokulusi). Kesukaran dengan pertuturan, makan dan penampilan terjadi akibat dari perubahan yang teruk kepada tulang dibahagian muka dan rahang. Ciri-ciri yang dapat dilihat ini boleh menyebabkan tekanan kepada pesakit talasemia dan memberi impak negatif ke atas kualiti hidup mereka.

Oleh kerana penghidap talasemia perlu memberi tumpuan kepada impak serius anemia ke atas kesihatan umum mereka untuk kelangsungan hidup dan ke atas pengurusan komplikasi yang berkaitan dengan rawatan jangka panjang, mereka mungkin mengabaikan masalah pergigian lain seperti gigi reput, penyakit gusi, jangkitan kuman, dsb. Perkara ini menyebabkan jangkitan pergigian yang biasa boleh menjadi lebih teruk dan memerlukan rawatan lanjutan. Sebelum memulakan apa-apa jenis rawatan pergigian kepada penghidap talasemia, peraway pergigian perlu menimbangkan keadaan talasemia itu sendiri dan kesan anemia yang terhasil atau rawatannya. Rawatan pergigian mungkin berisiko kepadapenghidap talasemia terutamanya kepada mereka yang telah menjalani pembedahan pembuangan limpa, yang boleh menjadikan mereka lebih terdedah kepada jangkitan kuman.

Memandangkan kesan ketara masalah pergigian dan ortodontik ke atas kehidupan penghidap talasemia, adalah penting untuk mencari cara terbaik bagi merawat mereka dengan berkesan. Walau bagaimanapun, disebabkan kekurangan maklumat dalam literatur saintifik, tiada garis panduan yang mencadangkan pelan rawatan terbaik. Oleh itu, kami berazam mencari apa-apa bukti bagi perawatan komplikasi pergigian dan ortodontik kepada penghidap talasemia dan meyediakannya kepada para perawat kesihatan serta mereka yang mempunyai keadaan ini.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga: 22 Julai 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami membuat saringan ke atas 35,202 tajuk rujukan, tetapi tidak ada yang didapati sesuai untuk dimasukkan di dalam ulasan kami.

Keputusan-keputusan utama

Perlu ada kajian terkawal yang rawak yang berkualiti tinggi (kajian di mana rawatan yang berbeza dibandingkan dan peserta dipilih untuk satu atau rawatan lain secara kebetulan) yang menyiasat pilihan rawatan yang berbeza untuk komplikasi pergigian dan ortodontik penghidap talasemia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S, Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save