Terapi tumpuan pada masa kini (PCT) bagi merawat ganguan tekanan pasca-trauma (PTSD) dalam kalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Adakah terapi tumpuan pada masa kini (PCT) berkesan merawat orang dewasa yang mengalami gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) berbanding terapi perilaku cognitif berfokuskan trauma (TF-CBT)?

Latar belakang

PTSD adalah satu gangguan psikiatri yang boleh terjadi kepada individu yang pernah terdedah kepada trauma. Kebanyakan mangsa trauma yang terselamat akan mengalami pengurangan gejala trauma secara beransur-ansur dan pulih daripada trauma tersebut, namun ada sebahagian daripada mereka yang mengalami gejala yang berterusan yang mengganggu fungsi biologi, psikologi, dan sosial mereka. Hal ini dipanggil PTSD (gangguan tekanan pasca-trauma).

TF-CBT adalah terapi yang dianggap sebagai salah satu rawatan yang paling berkesan untuk mereka yang mengalami PTSD. Terapi berfokuskan trauma memerlukan pesakit untuk berfikir tentang dan/atau bercakap tentang trauma yang mereka alami sebelum ini, perkara ini boleh menghalang sesetengah daripada pesakit terlibat dalam rawatan ini kerana mereka tidak dapat berbuat demikian. PCT adalah rawatan yang tidak berasaskan trauma, ia menggabungkan komponen psikoterapeutik biasa, dan boleh menarik pesakit yang enggan terlibat dalam rawatan berfokus trauma. Walaupun pada asalnya ia dibangunkan untuk menjadi satu rawatan perbandingan dalam kajian TF-CBT, PCT telah menunjukkan hasil dengan baik dalam kajian-kajian ini dan mungkin dikaitkan dengan kadar keciciran rawatan yang lebih rendah. Jika PCT dianggap sama berkesan seperti TF-CBT dan juga mempunyai kadar keciciran rawatan yang lebih rendah, maka ia boleh menjadi pilihan rawatan bagi mereka yang tidak mahu terlibat dengan rawatan berfokus trauma . Ulasan sistematik ini bertujuan menentukan sama ada PCT merupakan pilihan rawatan yang berkesan berbanding TF-CBT untuk orang dewasa yang menaglami PTSD.

Ciri-ciri Kajian

Ulasan ini melibatkan 12 kajian yang melibatkan 1837 peserta. Sebelas kajian yang melibatkan 1826 peserta menyumbang kepada sintesis kuantitatif. Peserta adalah orang dewasa, tetapi dalam lingkungan demografi dan jenis trauma yang berbeza. Semua kajian melibatkan peserta di Amerika Syarikat dan kebanyakan peserta dalam kajian-kajian ini merupakan bekas tentera.

Keputusan utama

PCT kelihatan tidak mempunyai kesan efektif yang sama seperti rawatan berfokus trauma dalam mengurangkan keterukan PTSD selepas rawatan. Walau bagaimanapun, PCT dikaitkan dengan kadar keciciran rawatan yang lebih rendah berbanding dengan TF-CBT.

Kualiti bukti

Beberapa kajian TF-CBT yang dimasukkan dalam kajian ini telah direka dan dilaksanakan dengan baik. Walau bagaimanapun, kami menilai kesuluruhan kualiti bukti untuk hasil utama kami (keterukan PTSD pasca-rawatan) sebagai rendah berdasarkan hasil yang tidak konsisten dan beberapa ketidaktepatan dalam keputusan. Kami menilai kualiti bukti tentang perbezaan keciciran rawatan sebagai sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Shazlin.Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi shazlin@usm.my

Tools
Information