Adakah asid traneksamik (ubat yang digunakan untuk menambahbaik pembekuan darah) mengurangkan pendarahan semasa pembedahan endoskopik untuk rinosinusitis kronik?

Apa itu rinosinusitis kronik?

Rinosinusitis kronik merupakan satu keradangan dalam rongga sinus yang berlanjutan selama sekurang-kurangnya 12 minggu. Individu yang mempunyai rinosinusitis kronik boleh mengalami simptom seperti hidung tersumbat atau berair, rasa sakit di bahagian muka serta pengurangan atau kehilangan deria bau. Sesetengah individu juga mungkin mempunyai polip dalam hidung mereka yang boleh memburukkan lagi simptom-simptom tersebut.

Bagaimana rinosinusitis kronik dirawat?

Rinosinusitis kronik biasanya dirawat dengan ubat-ubatan seperti semburan air garam, semburan/titisan anti-radang (steroid), antibiotik atau tablet steroid. Jika simptom berterusan selepas rawatan tersebut, pembedahan boleh dilakukan.

Apa yang ingin kami ketahui?

Kami ingin melihat keberkesanan asid traneksamik, ubat yang digunakan untuk menambahbaik pembekuan darah, semasa pembedahan sinus endoskopik dengan mengurangkan pendarahan dan seterusnya berpotensi mengurangkan risiko komplikasi. Kurang pendarahan bermakna pakar bedah boleh melihat bahagian sinus dengan lebih baik semasa mereka menjalankan pembedahan.

Apa yang kami lakukan?

Kami membuat carian terhadap kajian yang menyiasat asid traneksamik (sama ada diberikan secara intravena atau dimasukkan terus ke dalam hidung melalui semburan atau titisan) berbanding dengan plasebo atau tanpa asid traneksamik. Kami melibatkan kedua-dua populasi kanak-kanak dan dewasa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 14 kajian dengan sejumlah 942 peserta yang membandingkan antara asid traneksamik dengan garam (plasebo) dalam pesakit yang menjalani pembedahan sinus endoskopik. Dalam 10 kajian, rawatan diberikan secara intravena dan dalam tiga kajian lagi, rawatan dimasukkan ke dalam hidung. Semua kajian menggunakan jumlah drug yang berbeza.

Kami mendapati bahawa asid traneksamik berkemungkinan besar menambahbaik ruang penglihatan pakar bedah terhadap kawasan pembedahan (berdasarkan kepada 13 kajian), mungkin mengurangkan sedikit jumlah kehilangan darah semasa pembedahan (12 kajian) dan berkemungkinan tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan yang serius dalam tempoh 24 jam pembedahan (seperti pembentukan darah beku dalam otak atau sawan - tiada kejadian sedemikian berlaku dalam kumpulan rawatan mahupun kumpulan plasebo) (lapan kajian). Walau bagaimanapun, tiada bukti tentang kesan sampingan rawatan tersebut bagi tempoh susulan yang lebih lama.

Tempoh pembedahan disiasat dalam 10 kajian. Tempoh pembedahan mungkin lebih rendah dengan penggunaan asid traneksamik.

Hanya dua kajian yang menyiasat komplikasi berkaitan pembedahan dan kesukaran menyelesaikan pembedahan seperti yang dirancang. Dalam kajian ini, tiada perbezaan yang dilihat antara kumpulan asid traneksamik dan kumpulan plasebo. Walau bagaimanapun, memandangkan komplikasi ini jarang berlaku, tiada kesimpulan dapat dibuat berdasarkan kajian tersebut.

Pendarahan hidung selepas pembedahan yang memerlukan intervensi (meletakkan tampon hidung atau pembedahan lanjutan) telah disiasat dalam enam kajian. Hanya dua kajian yang melaporkan seorang pesakit yang dirawat dengan larutan bergaram (plasebo) yang mengalami pendarahan hidung selepas pembedahan. Asid traneksamik mungkin tidak memberi sebarang perbezaan terhadap kemungkinan pendarahan selepas pembedahan.

Berdasarkan bukti dalam kajian tersebut, kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada asid traneksamik yang diberikan secara intravena atau yang dimasukkan ke dalam hidung adalah lebih baik. Kami juga tidak dapat membuat kesimpulan sama ada terdapat dos tertentu asid traneksamik yang lebih berkesan.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin secara sederhana dengan bukti berkaitan penambahbaikan ruang penglihatan pakar bedah semasa pembedahan, tetapi penyelidikan lanjut mungkin memberi impak ke atas tanggapan ini. Kami kurang yakin dengan bukti berkaitan dengan kehilangan darah yang sedikit semasa pembedahan. Hal ini bermakna kesan sebenar mungkin sangat berbeza selepas lebih banyak penyelidikan dijalankan. Bagi kejadian kesan sampingan yang serius dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan (seperti pembentukan darah beku di otak atau sawan), kami yakin bahawa bilangan penyelidikan yang banyak berkemungkinan tidak akan mengubah hasil dapatan kami.

Sejauh manakah terkininya bukti ini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information