Adakah terapi psikologi membantu ulser kaki diabetes untuk sembuh dan mencegah perulangannya?

Latar belakang

Diabetes adalah keadaan yang menyebabkan paras gula dalam darah menjadi tinggi. Paras gula darah dikawal oleh insulin, hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin mengarahkan hati, otot dan sel-sel lemak untuk menyingkir gula dari darah dan menyimpannya. Apabila pankreas tidak menghasilkan cukup insulin, atau badan tidak respon kepada insulin, terlalu banyak gula akan terkumpul dalam darah.

Kadar gula darah yang tinggi boleh merosakkan saraf kaki dan tangan dan menyebabkan kekebasan. Ini bermakna jika seseorang dengan diabetes terluka di kaki kerana terpijak objek tajam, atau mendapat lepuh di kaki, mereka mungkin tidak akan menyedarinya. Lepuh boleh berkembang menjadi luka terbuka atau kudis, yang dikenali sebagai ulser kaki diabetes (DFU). Ia mungkin lambat sembuh, kerana diabetes merosakkan salur darah dan ini menyekat bekalan darah - oksigen dan nutrien yang dibawa oleh darah, yang perlu untuk penyembuhan. Jika tidak dirawat, ulser boleh dijangkiti. Dalam kes-kes yang teruk, amputasi ibu jari kaki, kaki, atau lebih, mungkin perlu.

Orang dengan DFU mungkin merasa distres dengan luka dan impaknya terhadap kehidupan mereka. Ini dapat mengurangkan peluang ulser sembuh, dan membuatnya cenderung muncul kembali. Terapi psikologi dapat memperbaik penyembuhan ulser dan mencegah kemunculannya semula, dengan membantu orang merasakan mereka dapat mengurus diabetes mereka dan mengatasi DFU.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika terapi psikologi memperbaik penyembuhan DFU dan mencegah kemunculannya semula. Kami juga ingin tahu jika ia mempengaruhi bilangan amputasi, kualiti hidup, kos rawatan dan keyakinan mereka dapat menangani keadaan tersebut, selain membandingkan kesan pelbagai terapi psikologi.

Kaedah kami

Kami mencarikajian rawak terkawal yang relevan, di mana rawatan yang diterima setiap orang dipilih secara rawak. Kajian-kajian ini memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan-kesan sesuatu rawatan. Kami kemudiannya membandingkan keputusannya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Kami menilai kepastian bukti dengan mempertimbang faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian-kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian tersebut. Berdasarkan penilaiantersebut, kami mengkategori bukti sebagai kepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami menemui tujuh kajian melibatkan 290 orang dengan diabetes yang disusuli selama enam minggu dan enam bulan. Kajian-kajian dilakukan di Australia, Amerika Syarikat, Norway, Indonesia, Afrika Selatan dan UK. Terapi psikologi yang dikaji adalah:

- kaunseling (tiga kajian);

- relaksasi otot (satu kajian);

- motivasi tersesuai individu (satu kajian);

- terapi yang bertujuan untuk mengembangkan pemahaman seseorang tentang kesejahteraan (satu kajian);

- terapi tingkah laku kognitif berdasarkan kumpulan (satu kajian).

Terapi psikologi berbanding rawatan biasa

Kami tidak tahu jika terapi psikologi memperbaik penyembuhan DFU, atau mencegah kemunculan semula ulser, kerana bukti kepastian sangat rendah.

Perbandinhgan pelbagai terapi psikologi

Kami tidak tahu jika sesetengah terapi psikologi lebih berkesan daripada yang lain terhadap penyembuhan DFU atau mencegah kemunculan semula ulser. Hal ini kerana sama ada tiada kajian yang menilainya atau kepastian bukti sangat rendah.

Kami tidak tahu jika terapi psikologi memberi kesan masa yang diperlukan untuk ulser muncul semula, amputasi, kualiti hidup atau kepercayaan seseorang terhadap kemampuannya untuk mengurus keadaan mereka, kerana tiada atau terlalu sedikit kajian yang menyelidikinya. Tiada kajian yang melaporkan maklumat tentang kos terapi psikologi.

Apakah maksudnya?

Tiada bukti kukuh tentang kesan terapi psikologi terhadap penyembuhan dan perulangan DFU.

Terdapat keperluan untuk kajian berkualiti tinggi melibatkan cukup orang untuk mengesan potensi terapi psikologi terhadap penyembuhan atau kemunculan semula ulser. Persetujuan satu set langkah-langkah jelas untuk kajian akan datang boleh membantu agar keputusan-keputusan pelbagai kajian boleh dibandingkan dan dianalisis bersama.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Yean Albert (Manipal Academi of Higher Education). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save