Terapi asid-asid lemak daripada hidupan laut sebagai rawatan bagi strok

Soalan ulasan

Apakah kesan asid lemak omega-3 daripada hidupan laut bagi rawatan strok selepas temujanji susulan untuk jangka waktu singkat (sehingga tiga bulan) dan lebih panjang (lebih daripada tiga bulan).

Latar belakang

Istilah strok merujuk kepada kumpulan penyakit yang melibatkan saluran darah di dalam otak. Strok boleh disebabkan oleh pendarahan atau penyumbatan saluran-saluran darah ini yang mengakibatkan kehilangan fungsi sel-sel otak. Serangan iskemia sementara (TIA), juga dikenali sebagai 'strok mini', merupakan gangguan sementara bekalan darah ke otak. Strok merupakan penyakit yang menyebabkan pesakit kehilangan fungsi badan dan kebiasaannya memerlukan penjagaan khusus yang berpanjangan. Pada masa ini terdapat beberapa pilihan rawatan untuk pesakit strok. Asid lemak omega-3 asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid dokosaheksaenoik (DHA) yang terdapat dalam minyak ikan mempunyai fungsi yang penting di dalam otak. Di dalam penyelidikan haiwan, amino asid ini didapati boleh melindungi sel-sel otak selepas strok, terutamanya jika ianya diambil segera selepas serangan strok. Walaubagaimanapun, keberkesanan EPA dan DHA sebagai rawatan bagi strok pada manusia masih tidak jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 30 kajian yang melibatkan peserta yang mempunyai strok atau TIA dan kami menemui maklumat relevan dalam sembilan daripadanya (3339 peserta secara keseluruhan). Tiga kajian mempunyai susulan berjangka pendek (sehingga tiga bulan) dan enam mempunyai susulan yang lebih lama. Tiga kajian membandingkan asid lemak omega-3 daripada hidupan laut dengan rawatan biasa dan selebihnya menggunakan plasebo (tiruan). Tidak semua kajian menilai kesemua hasil yang mahu dinilai.

Hasil utama kajian

Kesan asid lemak omega-3 yang berasal dari laut terhadap pemulihan strok didapati tidak jelas. Hanya dua kajian yang sangat kecil melaporkannya, satu dalam setiap kategori susulan, tanpa menemui perbezaan yang bermakna. Satu kajian dalam kumpulan susulan pendek mendapati kurang pemulihan emosi peserta dengan asid lemak omega-3 dari hidupan laut tetapi bukti ini mempunyai kepastian yang rendah. Kesan asid lemak omega-3 yang berasal dari laut terhadap kematian akibat penyakit saluran darah, strok berulang, kejadian buruk dan kualiti hidup selepas strok atau TIA tidak jelas di dalam kedua-dua kategori susulan, perkara ini disebabkan oleh sedikit sahaja kajian yang menilai perkara ini.

Kepastian bukti

Dalam kedua-dua kajian susulan yang pendek dan yang lebih panjang, kepastian bukti adalah sangat rendah atau rendah. Kekerapan strok jenis lain dan kualiti kehidupan tidak dilaporkan dalam kajian yang mempunyai susulan jangka panjang.

Tarikh bukti

Ulasan ini mengemas kini ulasan asal yang dijalankan pada 2019. Ulasan ini dikemas kini hingga 31 Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information