Ubat mana yang terbaik untuk merawat pendarahan berlebihan selepas melahirkan anak?

Apakah isunya?
Sebab yang paling umum mengapa ibu meninggal dunia semasa melahirkan anak adalah pendarahan berlebihan, yang dikenali sebagai pendarahan postpartum, ketika kehilangan darah sama dengan atau melebihi 500 mL. Keadaan kecemasan ini biasanya disebabkan oleh kegagalan rahim menguncup dan menutup saluran yang membawa darah ke plasenta. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pemberian ubat yang menjadikan rahim menguncup dengan lebih berkesan (ubat uterotonik) dan mengurangkan risiko pendarahan berlebihan. Walaupun ubat-ubatan ini diberikan kepada ibu sejurus selepas kelahiran bayi, beberapa wanita masih akan mengalami pendarahan berlebihan dan memerlukan rawatan lebih lanjut.

Mengapakah ini penting?
Pemberian ubat uterotonik adalah rawatan utama apabila pencegahan gagal, dan pendarahan berlebihan berlaku. Rawatan uterotonik yang sedia ada termasuk oxytocin, carbetocin, ergometrine, misoprostol, suntikan prostaglandin dan gabungan ubat-ubat ini, masing-masing dengan keberkesanan dan kesan-kesan sampingan yang berbeza. Tujuan Kajian Cochrane ini adalah untuk mengenal pasti ubat terbaik dengan kesan sampingan paling sedikit untuk merawat pendarahan berlebihan selepas melahirkan anak.

Apakah bukti yang telah kami temui?
Kami mencari bukti pada bulan Mei 2020 dan menemui tujuh kajian yang melibatkan 3738 peserta wanita. Wanita melahirkan anak, kebanyakannya melalui faraj, di hospital dan menerima ubat uterotonik untuk mencegah pendarahan selepas bersalin. Ubat yang digunakan untuk merawat pendarahan berlebihan dalam kajian ini adalah misoprostol (tablet larut di bawah lidah, pil atau suppositori rektum), oxytocin (diberikan ke vena atau otot), kombinasi misoprostol dengan oxytocin dan gabungan Syntometrine® (kombinasi ergometrine plus oxytocin disuntik ke otot) dengan oxytocin.

Dua kajian, yang melibatkan 1787 wanita, membandingkan misoprostol dengan oxytocin untuk rawatan awal pendarahan berlebihan selepas bersalin. Kami mendapati bahawa misoprostol mungkin meningkatkan risiko memerlukan transfusi darah dibandingkan dengan oxytocin dan mungkin meningkatkan risiko penderitaan akibat kehilangan darah tambahan 1000 mL atau lebih setelah permulaan rawatan sehingga pendarahan berhenti. Dari data yang sedia ada, tidak ada pengetahuan mengenai hasil penderitaan akibat kehilangan darah tambahan 500 mL atau lebih, kematian ibu atau penyakit teruk yang berkaitan dengan kehilangan darah yang berlebihan, dan perlunya ubat uterotonik tambahan untuk menghentikan pendarahan. Dari segi kesan sampingan, misoprostol meningkatkan risiko muntah dan juga dapat meningkatkan kejadian demam berbanding dengan oxytocin.

Empat kajian, yang melibatkan 1881 wanita, membandingkan misoprostol yang diberikan dalam kombinasi dengan oxytocin berbanding oxytocin yang diberikan secara bersendirian. Gabungan ubat memberikan sedikit atau tidak ada perbezaan dengan penggunaan uterotonik tambahan, dan transfusi darah dibandingkan dengan oxytocin yang diberikan secara bersendirian. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat mengenal pasti ubat mana yang paling sesuai untuk mengurangkan kehilangan darah tambahan sebanyak 500 mL atau lebih, kehilangan darah tambahan 1000 mL atau lebih, dan kematian ibu atau penyakit teruk yang berkaitan dengan kehilangan darah yang berlebihan. Dari segi kesan sampingan, kombinasi ubat meningkatkan kejadian demam dan muntah.

Satu percubaan yang melibatkan 64 wanita membandingkan misoprostol dengan Syntometrine® yang digabungkan dengan oxytocin. Bukti yang ada mempunyai kepastian yang sangat rendah dan dengan itu kami tidak dapat mengenal pasti ubat yang mempunyai prestasi terbaik.

Kami juga membandingkan kombinasi misoprostol dan oxytocin berbanding dengan misoprostol sahaja. Ubat ini tidak dibandingkan secara langsung dalam kajian. Walau bagaimanapun, kedua-dua ubat telah dibandingkan dengan oxytocin, dan dengan itu kami dapat membandingkannya secara tidak langsung. Gabungan ubat mungkin mengurangkan risiko transfusi darah dan dapat mengurangkan risiko kehilangan darah tambahan 1000 mL atau lebih, tetapi membuat sedikit atau tidak ada perbezaan untuk muntah berbanding dengan misoprostol sahaja. Walaubagaimana pun, tidak ada pengetahuan mengenai hasil kehilangan darah tambahan 500 mL atau lebih, kematian ibu atau penyakit teruk yang berkaitan dengan kehilangan darah yang berlebihan, dan pengunaan ubat uterotonik tambahan dan demam.

Apakah maksudnya?
Kami mendapati bahawa oxytocin mungkin lebih berkesan daripada misoprostol dan juga dikaitkan dengan kesan sampingan yang kurang. Memberi misoprostol bersama dengan oxytocin mungkin tidak akan meningkatkan keberkesanan dan meningkatkan kesan sampingan. Bukti untuk kebanyakan ubat yang ada digunakan sebagai rawatan pertama untuk pendarahan selepas bersalin adalah terhad, tiada bukti yang ditemui untuk beberapa ubat yang sedang digunakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save