Penyekat-beta dan perencat sistem renin-angiotensin aldosteron untuk kegagalan jantung kronik dengan ejeksi pecahan terpelihara

Soalan ulasan

Kami menyiasat kesan-kesan penyekat-beta (BB), antagonis reseptor mineralokortikoid (MRA), perencat enzim penukaran angiotensin (ACEI), penyekat reseptor angiotensin (ARB) dan perencat neprilysin reseptor angiotensin (ARNI) ke atas kelangsungan hidup, kemasukan ke hospital kerana kegagalan jantung, kualiti hidup dan tahap kalium dalam orang dengan kegagalan jantung dengan ejeksi pecahan terpelihara.

Latar belakang

Kegagalan jantung adalah keadaan biasa yang berlaku apabila fungsi otot jantung merosot dikaitkan dengan simptom sesak nafas dan keletihan, dan pengurangan kelangsungan hidup. Dalam kira-kira separuh kes yang mana terdapat pengurangan kontraksi (kegagalan jantung dengan pengurangan ejeksi pecahan, HFrEF), beberapa rawatan yang diketahui berkesan dalam menambah baik kelangsungan hidup dan mengurangkan hospitalisasi. Dalam kes yang selebihnya yang mana relaksasi merosot (kegagalan jantung dengan ejeksi pecahan terpelihara, HFpEF), adalah tidak jelas sama ada rawatan ubat yang sama juga berkesan dalam menambah baik hasil.

Kriteria pemilihan

Kami menyiasat sama ada rawatan HFrEF juga berkesan dalam HFpEF. Kami menjalankan kajian yang menyeluruh bagi semua kajian yang menyelidik BB, MRA, ACEI, ARB atau ARNI (bukti terkini hingga 25 Julai 2017).

Keputusan dan kesimpulan

Kami menyertakan 10 kajian dengan 3087 peserta yang dirawakkan bagi BB, 12 kajian dengan 4408 peserta yang dirawakkan bagi MRA, lapan kajian dengan 2061 peserta yang dirawakkan bagi ACEI dan lapan kajian dengan 8755 peserta yang dirawakkan bagi ARB. Kami menggabungkan bukti ke dalam analisis terkumpul bagi setiap kelas ubat dan bagi setiap hasil yang dinilai. Tidak semua kajian yang disertakan adalah sebahagian daripada setiap analisis.

Kami mendapati penyekat-beta mungkin memperbaiki mortaliti kardiovaskular, tetapi kualiti bukti adalah rendah kerana kajian yang kecil dan ketidakpastian tentang kaedah yang digunakan. Bagi MRA, keputusan mencadangkan pengurangan hospitalisasi kegagalan jantung mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap mortaliti kardiovaskular dan semua sebab, tetapi kualiti bukti adalah sederhana. Bagi ACEI, rawatan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas hasil mortaliti kardiovaskular, kematian semua sebab dan hospitalisasi kegagalan jantung, tetapi kualiti bukti adalah hanya sederhana. Kami menemui bukti kualiti yang tinggi bagi rawatan ARB dan keputusan mencadangkan sedikit atau tiada kesan daripada rawatan ini. Tiada kajian yang lengkap disediakan bagi ARNI. Rawatan dengan MRA dan ARB didapati meningkatkan risiko kalium yang tinggi dalam darah.

Kesimpulannya, BB mungkin menambah baik hasil dalam pesakit dengan HFpEF tetapi ia kekal tidak pasti. MRA didapati menyebabkan sedikit pengurangan dalam risiko hospitalisasi kerana kegagalan jantung. Rawatan dengan ACEI berkemungkinan tidak mempunyai kesan, tetapi masih tidak pasti. Bukti mencadangkan rawatan dengan ARB mempunyai sedikit atau tiada manfaat dalam orang dengan HFpEF.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berkisar daripada tinggi ke rendah merentasi hasil dan kelas ubat yang dikaji. Kecuali ARB, terdapat kekurangan kajian HFpEF berskala besar bagi intervensi dan hasil yang diuji.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@ecsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save