Apakah faedah dan risiko pembedahan pembiasan laser wavefront excimer untuk gangguan mata yang biasa?

Mengapakah soalan ini penting?
Kesilapan pembiasan adalah sebab yang biasa bagi penglihatan yang kurang baik di seluruh dunia. Orang yang mengalami kesilapan pembiasan menghadapi masalah untuk fokus kerana bentuk mata mereka yang luar biasa. Ini menyebabkan:

- Rabun dekat (miopia), yang menjadikan objek jauh kelihatan kabur;
- Rabun jauh (hiperopia), yang menjadikan objek berdekatan kelihatan kabur; dan
- Astigmatisme, yang menjadikan objek yang jauh dan berdekatan kelihatan kabur atau berubah bentuk.

Kesilapan pembiasan dapat diperbaiki dengan cermin mata atau kanta lekap, atau dirawat dengan pembedahan. Secara konvensional, pakar bedah menggunakan laser yang dikendalikan komputer yang memancarkan sinar ultraviolet (pembedahan pembiasan laser excimer) untuk membetulkan kejanggalan. Prosedur pembedahan yang lebih baru menggunakan teknologi pengimejan tiga dimensi untuk mengenal pasti kejanggalan (teknik wave-front terubahsuai); ini membolehkan pembetulan untuk kejanggalan yang jauh lebih kecil daripada prosedur konvensional.

Kami mengulas bukti dari kajian penyelidikan untuk membandingkan faedah dan risiko:

- pembedahan pembiasan laser excimer konvensional berbanding teknik wavefront terubahsuai; dan
- teknik wavefront terubahsuai yang berbeza.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertama, kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana kajian ini memberikan bukti yang paling kukuh mengenai kesan rawatan. Kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian.

Apa yang kami temui?
Kami menemui 33 kajian yang melibatkan seramai 1499 orang yang berumur 18 tahun ke atas. Kajian-kajian ini dilakukan di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat, dan mengikuti peserta selama antara satu bulan hingga satu tahun. Sebilangan besar orang dalam kajian-kajian ini adalah wanita, dan kebanyakan orang mengalami rabun dekat.

Dua belas kajian melaporkan sumber dana mereka: dua kajian dibiayai oleh kerajaan AS, tiga kajian dibiayai oleh industri dan tujuh kajian tidak mendapat sebarang dana tertentu.

Beberapa kajian memberikan maklumat mengenai kesan utama yang menarik bagi kami:

- peningkatan penglihatan satu tahun selepas pembedahan; dan
- berlakunya kesan yang tidak diingini (buruk) seperti kehilangan penglihatan yang ketara, lingkaran cahaya (melihat lingkaran terang di sekitar sumber cahaya) atau silau (ketidakselesaan disebabkan oleh cahaya yang kuat).

Keyakinan kami adalah rendah hingga sangat rendah terhadap bukti dari kajian yang kami dapati, terutamanya kerana kajian:

- menghasilkan keputusan yang tidak tepat dan tidak konsisten; dan
- dirancang atau dijalankan dengan cara yang dapat memasukkan kesilapan pada hasilnya.

Pembedahan pembiasan laser excimer konvensional berbanding teknik wavefront terubahsuai

Dalam prosedur di mana pakar bedah membuang lapisan luar depan mata untuk memasuki kawasan rawatan (keratektomi fotorefractive, PRK), mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara teknik konvensional dan wavefront terubahsuai terhadap peningkatan penglihatan satu tahun selepas pembedahan (satu kajian).

Tidak ada kajian yang menyelidiki pembedahan konvensional berbanding teknik wavefront terubahsuai dalam prosedur di mana pakar bedah membuat siatan kecil di bahagian depan mata untuk mengakses kawasan rawatan (keratomileusis in-situ yang dibantu laser, LASIK).

Perbandingan antara teknik wavefront terubahsuai yang berbeza

Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara prosedur wavefront yang dioptimumkan dan prosedur yang dipandu wavefront (dua jenis teknik yang wavefront terubahsuai) dalam peningkatan penglihatan satu tahun selepas pembedahan (enam kajian).

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terlalu rendah untuk menentukan sama ada terdapat perbezaan kesan antara PRK berpandukan wavefront dan LASIK berpandukan wavefront (satu kajian).

Kesan sampingan

Sedikit kajian yang melaporkan maklumat mengenai kesan yang tidak diingini menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara prosedur yang dibandingkan dari segi kesan yang tidak diingini.

Apakah maksudnya?
Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan dalam peningkatan penglihatan antara:

- pembedahan pembiasan laser excimer konvensional berbanding teknik wavefront terubahsuai semasa menggunakan PRK;
- prosedur wavefront yang dioptimumkan dan prosedur berpandukan wavefront.

Kami tidak tahu prosedur mana yang dikaitkan dengan sedikit kesan yang tidak diingini kerana bukti yang terhad.

Lebih banyak kajian besar yang dijalankan dengan baik adalah diperlukan untuk meningkatkan bukti dan memberikan maklumat mengenai kesan yang tidak diingini.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save