Adakah strategi farmakologi dan bukan farmakologi dapat mengurangkan berat badan wanita obes dengan masalah kesuburan?

Untuk menilai keberkesanan dan keselamatan strategi farmakologi dan bukan farmakologi apabila dibandingkan antara satu sama lain, plasebo, atau tiada rawatan untuk pengurangan berat badan pada wanita obes dengan masalah kesuburan.

Latar belakang

Untuk mengelakkan kesan buruk daripada obesiti, pengurangan berat badan adalah dianjurkan sebagai rawatan pertama bagi wanita obes yang ingin hamil. Keberkesanan intervensi farmakologi dan bukan farmakologi untuk wanita obes dengan masalah kesuburan adalah tidak jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 10 kajian rawak yang membandingkan strategi farmakologi dan bukan farmakologi pada 1490 wanita obes dengan masalah kesuburan.

Hasil utama

Kekurangan data menjadi perhatian utama dalam penafsiran data ini. Hanya 10 kajian yang dimasukkan dalam analisis. Tiga kajian membandingkan intervensi bukan farmakologi berbanding dengan tiada intervensi atau plasebo. Kami tidak pasti sama ada diet berbanding dengan tiada intervensi dapat meningkatkan kelahiran hidup, kehamilan berterusan, kehamilan klinikal, atau kejadian buruk. Intervensi diet atau gaya hidup boleh menyebabkan perubahan berat badan (BMI) indeks jisim badan. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan dalam nisbah pinggang ke pinggul (WHR) dengan perubahan diet atau gaya hidup berbanding dengan tiada intervensi. Tidak ada kajian yang melaporkan kualiti hidup, atau hasil kesihatan mental untuk perbandingan ini.

Satu kajian membandingkan intervensi bukan farmakologi - intervensi penurunan berat badan intensif berbanding penjagaan piawai kaunseling pemakanan; namun kerana kualiti bukti yang sangat rendah, kami tidak pasti sama ada intervensi penurunan berat badan secara intensif meningkatkan kelahiran hidup, kehamilan klinikal, kualiti hidup, atau hasil kesihatan mental. Tidak ada kajian yang melaporkan kejadian buruk, atau perubahan berat badan, untuk perbandingan ini.

Tiga kajian melaporkan intervensi farmakologi berbanding intervensi farmakologi. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan kejadian buruk antara metformin berbanding metformin bersama liraglutide. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara gabungan metformin, clomiphene, dan L-carnitine berbanding metformin, clomiphene, dan plasebo untuk keguguran. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara gabungan metformin, clomiphene, dan L-carnitine berbanding metformin, clomiphene, dan plasebo atau metformin bersama liraglutide berbanding dengan metformin dalam kehamilan klinikal. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara gabungan metformin, clomiphene, dan L-carnitine berbanding metformin, clomiphene, dan plasebo untuk perubahan berat menggunakan BMI. Tambahan pula, bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara dexfenfluramine berbanding plasebo atau metformin bersama liraglutide berbanding metformin untuk penurunan berat dalam kilogram, atau peratus daripada jumlah lemak badan. Tidak ada kajian yang melaporkan tentang kelahiran hidup dan perubahan kualiti hidup atau hasil kesihatan mental untuk perbandingan ini.

Dalam perbandingan intervensi farmakologi berbanding tanpa intervensi atau plasebo, tiga kajian dimasukkan. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara metformin dan kumpulan kawalan yang berkaitan dengan kelahiran hidup. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara metformin berbanding dengan plasebo dalam kelahiran hidup, kehamilan klinikal, atau kejadian buruk. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan antara diet yang digabungkan dengan metformin berbanding diet yang digabungkan dengan plasebo untuk perubahan berat menggunakan BMI atau WHR. Tidak ada kajian yang melaporkan mengenai kualiti hidup atau hasil kesihatan mental untuk perbandingan ini.

Kami tidak menjumpai kajian yang membandingkan intervensi non-farmakologi dengan farmakologi.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sangat rendah hingga rendah. Had utama adalah disebabkan oleh kekurangan kajian dan pelaporan kaedah kajian yang kurang baik. Sebab utama penurunan bukti adalah kekurangan perincian untuk menilai risiko bias (perawakan dan penyembunyian peruntukan), kekurangan pembutaan, dan ketidaktepatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (Pusat Perubatan Universiti Malaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information