Program saringan pergigian sekolah untuk memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak.

Apakah tujuan sorotan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika saringan pergigian sekolah memperbaiki kesihatan oral kanak-kanak; dan jika benar, kaedah saringan mana yang terbaik. Kami mendapati enam kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Tiada cukup bukti untuk merumuskan sama ada saringan pergigian tradisional sekolah berperanan memulihkan kehadiran temu janji pergigian. Program saringan pergigian sekolah dengan surat rujukan peribadi atau elemen motivasi tambahan mungkin mampu memperbaiki kehadiran temu janji pergigian untuk jangka masa pendek (susulan 3 bulan hingga dua tahun). Saringan berdasarkan kriteria spesifik mungkin lebih baik berbanding tiada saringan. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas jika peningkatan kehadiran temu janji pergigian menjadikan kesihatan oral kanak-kanak lebih baik. Kami masih memerlukan kajian berkualiti tinggi yang mengukur impak saringan ke atas kesihatan oral yang dilaksanakan untuk jangka masa lebih lama.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Penyakit oral, terutama karies gigi, melibatkan kanak-kanak di seluruh dunia. Jika tidak dirawat, kesihatan oral boleh merosot dengan progresif dan memberi impak buruk kepada kesejahteraan kanak-kanak. Ia juga memberi kesan kewangan kepada keluarga dan komuniti.

Saringan pergigian sekolah adalah langkah kesihatan awam di mana pemeriksaan oral kanak-kanak dilaksanakan di persekitaran sekolah dan diikuti oleh pemberitahuan ibu bapa tentang keadaan oral dan keperluan rawatan kanak-kanak. Ia bertujuan untuk mengenal pasti masalah pada peringkat awal dan mengingatkan ibu bapa untuk mendapat rawatan yang diperlukan. Sama ada ini meningkatkan kesihatan oral kanak-kanak menjadi matlamat sorotan ini.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati enam kajian dengan 19,498 kanak-kanak yang dimasukkan dalam analisis. Empat kajian dijalankan di UK dan dua di India. Kanak-kanak dalam kajian ini berumur 4 hingga 15 tahun. Kajian-kajian membandingkan kanak-kanak yang disaring di sekolah dengan kanak-kanak yang tidak menjalani saringan dari segi kesihatan oral dan lawatan ke doktor pergigian. Kajian-kajian membandingkan satu jenis saringan dengan yang lain (misalnya, variasi dalam pemeriksaan klinikal atau proses rujukan).

Kami tidak pasti sama ada saringan pergigian tradisional sekolah meningkatkan kehadiran temu janji pergigian kerana kami menilai kualiti bukti sebagai rendah.

Saringan berasaskan kriteria spesifik (misalnya tiada pendaftaran dengan doktor pergigian) dilihat lebih berkesan untuk meningkatkan kehadiran temu janji pergigian berbanding tiada saringan (kualiti bukti rendah), tetapi mungkin tiada perbezaan antara saringan berasaskan kriteria dengan saringan am (kualiti bukti sangat rendah).

Surat rujukan peribadi kepada ibu bapa mungkin meningkatkan kehadiran temu janji pergigian (kualiti bukti rendah).

Saringan yang ditambah dengan motivasi dari segi pendidikan kesihatan dan tawaran rawatan percuma mungkin meningkatkan kehadiran temu janji pergigian (kualiti bukti rendah).

Kesemua enam kajian menyusul kanak-kanak untuk tiga hingga lapan bulan selepas saringan. Oleh itu kami tidak tahu sama ada manfaat saringan dapat bertahan lama.

Kami tidak menjumpai kajian yang menangani keberkesanan kos program-program ini atau sebarang kesan buruk.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 15 Mac 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save