Menambah baik pelaporan oleh profesional penjagaan kesihatan tentang reaksi buruk ubat dan kesilapan ubatan

Mesej-mesej utama

- Profesional penjagaan kesihatan mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan tindak balas yang tidak dijangka dan memudaratkan kepada ubat-ubatan. Tindak balas ini dikenali sebagai 'kejadian kesan buruk ubat', istilah yang merangkumi kedua-dua tindak balas buruk ubat (ADR) dan kesilapan ubatan (ME).

- Satu sesi pendidikan (jangkauan, bengkel secara peribadi atau melalui telefon), bersama-sama dengan penyediaan kad peringatan dan borang laporan ADR, mungkin boleh meningkatkan dengan ketara jumlah laporan ADR yang dihantar.

- Menggunakan borang pelepasan piawai dengan item ADR tambahan yang direka bentuk untuk memudahkan laporan ADR mungkin boleh meningkatkan sedikit bilangan laporan ADR yang diserahkan.

- Kajian pada masa depan perlu menilai manfaat (peningkatan dalam bilangan laporan kejadian kesan buruk ubat yang diserah) dan bahaya (peningkatan dalam bilangan laporan kejadian kesan buruk ubat yang salah yang diserah) bagi sebarang intervensi yang direka untuk meningkatkan pelaporan profesional penjagaan kesihatan tentang kejadian kesan buruk ubat.

- Intervensi yang sesuai digunakan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana perlu direka dan dinilai dengan teliti.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Ulasan Cochrane ini menyiasat sama ada intervensi untuk profesional penjagaan kesihatan adalah berkesan untuk menambah baik pada pelaporan mereka berkenaan kejadian kesan buruk ubat . Kejadian kesan buruk ubat termasuklah sebarang tindak balas buruk ubat (ADR) dan sebarang kesilapan ubatan (ME).

Apakah yang kami lakukan?

Kami melihat kepada bukti daripada perlbagai jenis kajian yang berbeza untuk mengetahui sama ada intervensi yang ditujukan kepada profesional penjagaan kesihatan boleh meningkatkan bilangan laporan kejadian kesan ubat buruk yang mereka lakukan. Kami membandingkan jumlah laporan kejadian kesan buruk ubat (yang merangkumi kedua-dua laporan ADR dan ME) yang dikemukakan oleh profesional penjagaan kesihatan. Kami juga berminat dengan bilangan laporan kejadian kesan buruk ubat yang salah yang mereka lakukan. Serta jumlah bilangan laporan, kami melihat secara berasingan pada bilangan laporan yang diserahkan untuk kejadian kesan buruk ubat yang dikategorikan sebagai serius, berakibat tinggi (iaitu berkemungkinan besar disebabkan oleh ubat), tidak dijangka (iaitu tidak diketahui sebelum ini) atau berkaitan dengan ubat-ubatan terkini (iaitu hanya digunakan dalam tempoh lima tahun terakhir).

Apakah yang kami temui?

Ulasan ini menyertakan 15 kajian (62,389 peserta) yang membandingkan kesan pelbagai intervensi yang disasarkan kepada profesional penjagaan kesihatan untuk meningkatkan jumlah laporan kejadian kesan buruk ubat yang mereka lakukan. Semua kajian dilakukan di negara berpendapatan tinggi. Tiada kajian yang melihat sama ada intervensi ini membawa kepada lebih banyak laporan kejadian kesan buruk ubat yang salah.

Berbanding dengan amalan biasa (pelaporan secara spontan dan beberapa latihan daripada unit serantau yang memantau keselamatan ubat-ubatan), sesi pendidikan tentang sebab dan cara melaporkan kejadian kesan buruk, serta peringatan tentang kandungan sesi dan penyediaan borang laporan ADR, mungkin boleh meningkatkan bilangan laporan ADR yang dibuat oleh profesional penjagaan kesihatan .

Berbanding dengan amalan biasa (pelaporan secara spontan), penggunaan borang pelepasan piawai dengan item ADR tambahan tentang masa ADR berlaku dan cara ianya berkembang juga mungkin boleh meningkatkan sedikit bilangan laporan ADR yang dibuat. Borang piawai yang diuji adalah berdasarkan sistem 'Kumpulan Diagnosis Berkaitan' untuk merekodkan diagnosis pesakit dan prosedur perubatan dan pembedahan yang diterima pesakit semasa berada di hospital .

Kami sangat tidak pasti tentang keberkesanan intervensi yang lain yang telah diuji dalam kajian, termasuk:

- menghantar surat maklumat atau e-mel kepada para GP dan jururawat;

- intervensi dengan pelbagai aspek, termasuklah insentif kewangan dan bukan kewangan, denda, pendidikan dan kad peringatan;

- melaksanakan peraturan kerajaan bersama dengan insentif kewangan;

- memasukkan borang laporan ADR dalam buletin suku tahunan dan pad preskripsi;

- menyediakan hiperpautan kepada borang pelaporan dalam rekod elektronik pesakit hospital;

- menambah baik kaedah pelaporan dengan mereka semula sistem pelaporan kesilapan elektronik berasaskan web;

- kehadiran ahli farmasi klinikal di hospital yang mengenal pasti kejadian kesan buruk ubat secara aktif dan menggalakkan pengenalpastian dan pelaporan kejadian kesan buruk ubat.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti dalam ulasan ini adalah berdasarkan carian sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information