Dresing dan agen topikal (gel, salap dan krim) untuk merawat ulser vena kaki

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui dresing dan agen topikal (gel, salap dan krim) yang paling berkesan untuk merawat sejenis luka yang dikenali sebagai ulser vena kaki. Ia adalah luka jangka panjang di kaki bahagian bawah akibat masalah aliran darah di kaki melalui vena. Para penyelidik Cochrane mendapati 78 kajian yang relevan (kajian rawak terkawal) untuk menjawab persoalan ini. Kajian rawak terkawal adalah kajian perubatan di mana pesakit dipilih secara rawak untuk menerima rawatan yang berbeza. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling meyakinkan. Kami menilai kajian-kajian tersebut menggunakan kaedah yang dikenali sebagai analisis meta rangkaian (NMA), yang membolehkan kami membandingkan rawatan merentasi kajian-kajian dan memeringkatkannya bagi penyembuhan ulser yang lengkap.

Mesej utama

Kami tidak pasti dresing dan agen topikal mana yang paling berkesan untuk menyembuhkan ulser vena kaki: secara keseluruhan, semua kajian tiada cukup peserta untuk setiap kumpulan rawatan dan terdapat risiko bias yang tinggi; ini bermakna banyak kajian dilakukan atau dilaporkan dengan cara yang kami tidak pasti ketepatan keputusannya. Rawatan utama untuk ulser vena kaki adalah pembalut kompresi atau stoking dan pilihan dresing tambahan atau rawatan topikal perlu mengambil kira dalam penemuan ulasan serta ketidakpastiannya, di samping faktor-faktor seperti pilihan pesakit dan kos.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulser vena kaki adalah luka terbuka akibat aliran darah yang lemah melalui vena kaki bahagian bawah. Peningkatan tekanan vena kaki boleh menyebabkan kerosakan kulit dan tisu-tisu sekitarnya, mengakibatkan ulser. Ulser kaki vena lambat sembuh dan menyakitkan serta mahal untuk dirawat. Rawatan utama adalah balutan kompresi atau stoking tetapi ia sering digabung dengan dresing (seperti busa atau dresing tidak melekat) dan krim, gel atau salap topikal. Kami ingin tahu rawatan tambahan yang paling berkesan untuk penyembuhan ulser.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati 78 kajian yang relevan dengan soalan ini, dari tahun 1985 hingga 2016. Kajian-kajian ini melibatkan 7014 peserta (majoriti adalah wanita, dan usia purata antara 46 hingga 81 di mana ia dilapor). NMA kami merangkumi 59 kajian (5156 peserta) dan membandingkan 25 rawatan yang berbeza seperti dresing hidrokoloid dan dresing dicelup perak serta pelbagai krim dan gel.

Dresing dicelup perak mungkin meningkatkan kebarangkalian penyembuhan ulser vena kaki berbanding dresing tidak melekat. Walau bagaimanapun, berdasarkan bukti lain dari NMA, kami tidak yakin dengan sebarang kesimpulan, dan rangkaian tersebut secara keseluruhan mewakili bukti kepastian rendah. Ini adalah kerana bilangan peserta yang kecil dalam semua kajian, bilangan kecil kajian yang memfokus kepada setiap rawatan dan risiko bias yang tinggi. Oleh itu, kami tidak pasti rawatan yang paling berkesan untuk ulser vena kaki, atau rawatan mana yang sesuai untuk dibandingkan dalam kajian masa depan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitan sehingga Mac 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information