Mesej Utama
• Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, manfaat dan risiko menghentikan ubat tekanan darah dalam kalangan orang tua yang mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi atau pencegahan utama penyakit jantung tidak jelas.
• Penyelidikan masa depan tentang kesan menghentikan ubat tekanan darah harus memberi tumpuan kepada orang tua yang mempunyai risiko kesan sampingan yang paling tinggi. Ini termasuk orang yang mengambil pelbagai ubat dan mereka yang lemah.
• Orang tua tidak patut menghentikan sebarang ubat-ubatan tanpa berbincang dengan ahli profesional penjagaan kesihatan.
Apakah hipertensi?
Tekanan darah tinggi, atau dikenali sebagai hipertensi, merupakan faktor risiko untuk berbagai penyakit seperti serangan sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan strok. Walaupun hipertensi biasanya tidak menunjukkan gejala, namun mengawal tekanan darah adalah penting untuk memelihara kesihatan dan mengurangkan risiko keadaan yang serius.
Hipertensi sering dirawat dengan gaya hidup dan ubat-ubatan tekanan darah (antihipertensi). Terdapat banyak jenis ubat-ubatan tekanan darah yang sedia ada.
Mengapa ubat tekanan darah dihentikan?
Dari masa ke masa, manfaat dan kemudaratan ubat boleh berubah. Ubat tekanan darah boleh menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya, seperti pening dan keletihan, yang mungkin menyebabkan terjatuh. Orang tua lebih berisiko untuk mengalami kesan-kesan sampingan daripada ubat-ubatan berbanding orang muda. Ia tidak jelas sama ada manfaat ubat-ubatan tekanan darah melebihi kesan buruk dalam kalangan orang tua.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui kesan menghentikan ubat ini pada orang tua.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan penghentian atau pengurangan dos ubat tekanan darah dengan meneruskan ubat tekanan darah.
Kami melibatkan kajian ke atas dewasa berumur 50 tahun ke atas yang mengambil ubat tekanan darah untuk hipertensi atau untuk pencegahan penyakit jantung (pencegahan utama). Kami mengecualikan kajian tentang orang yang pernah mengalami serangan jantung, angin ahmar, atau bentuk penyakit jantung yang lain (pencegahan kedua).
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati tiada kajian baru dalam kemas kini ini. Ulasan asal kami menemui enam kajian yang melibatkan sejumlah 1073 orang tua. Kajian berlangsung dari 4 minggu hingga 56 minggu. Purata umur orang dalam kajian-kajian ini adalah 58-82 tahun. Dalam tiga kajian, dos ubat tekanan darah diturunkan perlahan-lahan sebelum dihentikan.
Menghentikan ubat tekanan darah boleh:
• memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko kematian;
• mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap serangan jantung, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya;
• mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko tindak balas buruk ubat (memudaratkan, kesan tidak diingini yang mungkin berkaitan dengan pengambilan ubat), tetapi ini tidak dilaporkan dengan baik, jadi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya;
• memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko kemasukan ke hospital atau angin ahmar;
• meningkatkan tekanan darah.
Kami menemui tiada kajian melihat sama ada menghentikan ubat tekanan darah menjejaskan kejatuhan.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana ada kemungkinan bahawa orang dalam kajian itu mengetahui rawatan yang mereka perolehi, dan beberapa kajian tidak melaporkan semua maklumat yang kami ingini; bukti adalah berdasarkan sebilangan kecil kematian, serangan jantung, kemasukan ke hospital, dan peristiwa angin ahmar; kebanyakan kajian telah dijalankan lebih 30 tahun yang lalu, dan piawaian penjagaan telah berubah sejak itu; dan keputusannya berbeza-beza secara meluas merentas kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu kami yang diterbitkan pada 2020 (carian dijalankan pada April 2019). Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nicole Fong Wan June. Dikemaskini.Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).