Adakah pemantauan aktiviti membantu pesakit strok dewasa menjadi lebih aktif secara fizikal?

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti-bukti sedia ada mengenai keberkesanan peranti boleh pakai komersial sedia ada (contohnya pedometer, Fitbit, dan jam tangan Garmin) dan aplikasi-aplikasi telefon pintar (contohnya Runkeeper, aplikasi Fitbit) untuk meningkatkan tahap aktiviti fizikal bagi penghidap strok.

Latar belakang

Mempromosi aktiviti fizikal adalah intervensi kesihatan yang penting untuk penghidap strok. Hubungan antara kesihatan dan aktiviti fizikal adalah diketahui jelas. Penghidap strok menghadapi cabaran tambahan untuk penglibatan dalam aktiviti fizikal yang mencukupi bagi manfaat kesihatan, dan seringkali sangat tidak aktif. Penambahan tahap aktiviti fizikal dalam kalangan penghidap strok yang terselamat di dalam kedua-dua persekitaran hospital dan komuniti adalah penting.

Menyediakan maklum balas kepada penghidap strok yang terselamat mengenai tahap aktiviti fizikal mereka adalah satu strategi yang dapat mengubah tingkah laku mereka dan meningkatkan tahap aktiviti fizikal. Peranti boleh pakai yang mengira langkah atau mengukur aktiviti, atau aplikasi telefon pintar yang menyediakan maklum balas mengenai aktiviti fizikal mungkin berguna. Memahami bagaimana peranti-peranti sedemikian berkesan dapat meningkatkan aktiviti fizikal yang berpotensi untuk memanfaatkan semua pesakit selepas strok.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan empat kajian dalam ulasan ini, merangkumi 245 peserta, berumur di antara 22 hingga 92 tahun. Tiga kajian mengukur hasil aktiviti fizikal selepas tempoh rawatan. Kajian telah dijalankan di hospital dan persekitaran komuniti. Semua peserta berupaya untuk berkomunikasi dan memberi persetujuan, dan semua mampu berjalan sekurang-kurangnya lima langkah tanpa pengawasan atau bantuan. Kumpulan-kumpulan eksperimen dalam kajian-kajian tersebut menerima maklumbalas sekurang-kurangnya harian mengenai bilangan langkah yang telah diambil.

Tarikh carian

Kami mencari kajian-kajian sehingga 3 Mac 2018.

Keputusan utama

Kami mendapati penggunaan pemantau aktiviti boleh pakai untuk memberi maklum balas tentang aktiviti fizikal tidak meningkatkan tahap aktiviti fizikal dalam penghidap strok. Tiada kesimpulan dapat dibuat mengenai pengaruh keterukan strok, keupayaan berjalan, umur mangsa strok yang terselamat, atau tempoh selepas strok ke atas hasil-hasil. Empat kajian yang dimasukkan telah dijalankan dalam persekitaran yang berbeza, dan menggunakan ukuran hasil yang berbeza, yang menghadkan keupayaan untuk menggabungkan data. Tiada kajian melaporkan sama ada penggunaan pemantau aktiviti fizikal adalah berbahaya. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan jika ia berkesan.

Kualiti bukti

Dengan menggunakan pendekatan GRADE, kualiti bukti adalah rendah hingga ke sangat rendah, disebabkan bilangan kajian yang kecil, saiz sampel kecil, dan kerana tiada kajian berupaya menyembunyikan daripada pengetahuan peserta atau ahli-ahli terapi yang menyampaikan intervensi (mereka menyedari alat peranti telah digunakan dan menyedari maklum balas telah diperolehi daripada alat peranti).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save