Cerivastatin untuk merendahkan lipid

Soalan ulasan

Bagaimana dos cerivastatin yang berbeza menjejaskan lemak dalam darah.

Latar belakang

Cerivastatin adalah ubat mengurangkan kolesterol yang sangat kuat. Kami tidak tahu bagaimana saiz dos memberi kesan kepada jumlah lemak dalam darah.

Tarikh carian

Kami mencari penyelidikan sehingga Mac 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian rawak berkualiti tinggi (RCTs) dan kajian sebelum-dan-selepas dengan cerivastatin dalam saiz dos yang berbeza. Kajian berlangsung antara tiga dan dua belas minggu. Orang dari pelbagai umur dan jantina, sama ada dengan atau tanpa penyakit jantung adalah terlibat dalam kajian ini.

Peserta dari pelbagai umur dan jantina, dengan atau tanpa penyakit kardiovaskular.

Keputusan-keputusan utama

Kami menemui lima puluh kajian dengan 13,018 peserta yang telah diukur tahap lipid mereka. 12,877 peserta telah diukur tahap kolesterol LDL mereka.

Orang yang mengambil 0.025 hingga 0.8 mg cerivastatin setiap hari telah menurunkan kolesterol LDL mereka sebanyak 12% hingga 42%. Semakin tinggi dos, lebih rendah tahap kolesterol yang diukur dengan tiga cara. Kolesterol HDL meningkat sebanyak 5%.

Untuk mengurangkan kolesterol LDL, cerivastatin adalah 250-kali lebih kuat daripada fluvastatin, 20-kali lebih kuat daripada atorvastatin dan 5.5 kali lebih kuat daripada rosuvastatin.

Hanya 11 daripada 19 RCTs melaporkan bilangan orang yang menarik diri dari kajian kerana kesan buruk. Tahap penarikan diri yang disebabkan oleh kesan buruk adalah serupa dalam orang yang mengambil cerivastatin dan plasebo.

Kepastian bukti

Terdapat tahap kepercayaan yang tinggi bagi keputusan untuk jumlah kolesterol dan kolesterol LDL dan sangat rendah hingga sederhana untuk triglycerides. Kami mempunyai tahap kepercayaan yang rendah dalam bukti berkaitan penarikan diri kerana banyak (8 daripada 19 kajian) tidak melaporkan penarikan diri kerana kesan buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information