Penggunaan eritropoietin dan zat besi untuk memperbaiki anemia sebelum pembedahan untuk mengurangkan risiko transfusi darah

Latar belakang

Eritropoietin adalah hormon yang dihasilkan oleh buah pinggang. Ia merangsang sumsum tulang untuk menghasilkan lebih banyak sel darah merah (RBC). Eritropoietin sering digunakan untuk memperbaiki anemia yang disebabkan oleh penurunan jumlah sel darah merah atau kepekatan hemoglobin yang rendah dalam kes kegagalan buah pinggang kronik. Hemoglobin dalam sel darah merah membawa oksigen ke seluruh badan.

Pesakit dewasa yang menjalani pembedahan selain jantung, seperti pembedahan tulang (ortopedik), akan menjalani ujian darah sebelum pembedahan untuk memeriksa kesihatan umum mereka. Ramai individu yang didapati mengalami anemia, yang bermaksud mereka mungkin memerlukan transfusi RBC dengan darah penderma sebelum, semasa, atau selepas pembedahan untuk meningkatkan kepekatan hemoglobin mereka. Pemberian darah penderma boleh menyebabkan reaksi alergi seperti ruam, sakit kepala, demam, tekanan darah tinggi, kehilangan fungsi sementara buah pinggang, dan pembekuan darah. Sekiranya penyebab anemia dapat didiagnos sebelum pembedahan, maka eritropoietin dapat digunakan bersama dengan zat besi untuk merawat sebahagian besar penyebab anemia.

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui sama ada terapi eritropoietin digabungkan dengan zat besi sebelum pembedahan adalah berkesan bagi mengurangkan keperluan untuk transfusi RBC bagi tempoh pemulihan segera pada orang dewasa dengan anemia yang menjalani pembedahan selain jantung, berbanding dengan tidak memberikan rawatan tersebut.

Terapi eritropoietin boleh diberikan melalui suntikan ke bawah kulit (secara subkutaneus) atau ke dalam urat (secara intravena). Zat besi boleh diberikan melalui mulut (dihantar ke usus) atau secara intravena.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 12 ujian terkawal secara rawak yang melibatkan sejumlah 1880 peserta dewasa yang mengalami anemia. Peserta ditugaskan secara rawak kepada kumpulan rawatan yang menerima eritropoietin dan zat besi atau kumpulan kawalan. Kumpulan kawalan menerima sama ada plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan dengan atau tanpa zat besi. Kami melihat kepada hasil-hasil berikut: kepekatan hemoglobin, keperluan untuk transfusi, jumlah unit RBC yang ditransfusikan setiap peserta, kesan sampingan, dan kematian jika ada. Eritropoietin telah diberikan sama ada dalam dos rendah (150 hingga 300 unit antarabangsa (IU)/kg berat badan) atau dos tinggi (500 hingga 600 IU/kg berat badan).

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa pemberian eritropoietin dengan tambahan zat besi mengurangkan keperluan untuk transfusi RBC dalam kalangan peserta (12 kajian; 1880 peserta). Dos eritropoietin yang lebih tinggi dengan zat besi meningkatkan kepekatan hemoglobin sebelum pembedahan (7 kajian; 1186 peserta), tetapi pada dos yang lebih rendah kesannya adalah tidak jelas. Jumlah unit RBC yang diperlukan adalah tidak berubah.

Kesan sampingan adalah tidak berbeza antara kumpulan-kumpulan kajian (10 kajian; 1722 peserta). Hanya dua kajian yang melaporkan mengenai kematian, tanpa perbezaan yang jelas antara kumpulan-kumpulan.

Kami tidak pasti sama ada orang dewasa yang menghidap anemia sebelum pembedahan yang dirawat dengan eritropoietin dan zat besi mempunyai tempoh tinggal di hospital yang lebih pendek berbanding orang dewasa yang menghidap anemia sebelum pembedahan yang tidak menerima rawatan pra operasi sebelum pembedahan (3 kajian; 293 peserta).

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti kajian adalah sederhana untuk hasil keperluan untuk transfusi RBC, disebabkan oleh beberapa percanggahan antara ujian-ujian yang memenuhi syarat; rendah untuk kepekatan hemoglobin sebelum pembedahan kerana ketidakkonsistenan antara ujian-ujian yang layak dan risiko bias; sederhana untuk jumlah unit RBC yang ditransfusikan, kerana perbezaan bagaimana kajian-kajian mengukur jumlah unit; rendah untuk jangka masa tinggal di hospital kerana ketidakkonsistenan dalam penemuan dan ketidaktepatan kajian; dan sederhana untuk mortaliti dan kesan sampingan dan kematian, kerana hanya sebilangan kecil kejadian yang dilaporkan .

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz, Universiti Sultan Zainal Abidin. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information