Rawatan pembedahan bagi penyebarisan vertikal mata yang tak normal (strabismus) dalam palsi oblik superior

Matlamat sorotan:
Matlamat Sorotan Cochrane ini adalah untuk mengenal pasti sama ada rawatan pembedahan bagi strabismus vertikal dalam kalangan pesakit palsi oblik superior lebih berkesan daripada intervensi pembedahan dan bukan pembedahan lain. Kami telah mencari semua kajian yang relevan dan mengenal pasti dua kajian klinikal.

Mesej utama: Tiada bukti berkualiti tinggi mengenai kesan-kesan rawatan pembedahan terhadap strabismus vertikal dalam kalangan pesakit palsi oblik superior. Oleh itu, kami tidak dapat mengenal pasti kaedah pembedahan terbaik untuk keadaan ini. Kajian yang dirancang dengan teliti diperlukan untuk membolehkan pengesyoran rawatan bagi masalah yang lazim ini.

Apakah yang telah kami kaji dalam sorotan ini?Kami membandingkan pelbagai kaedah pembedahan untuk mengurangkan strabismus vertikal dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa dengan diagnosis palsi oblik superior. Palsi oblik superior berlaku apabila terdapat kelemahan salah satu otot (oblik superior) yang terlibat dalam pergerakan mata, menyebabkan pola karakteristik strabismus, atau penyebarisan vertikal mata yang tak normal, yang biasanya berubah mengikut kedudukan kepala. Palsi oblik superior merupakan salah satu punca utama strabismus vertikal, dan boleh menyebabkan penglihatan berganda atau kedudukan kepala yang tidak normal bagi mengekalkan penglihatan tunggal.

Keputusan utama: Setiap kajian yang disertakan membandingkan dua prosedur pembedahan yang berbeza untuk melemahkan otot oblik inferior, lantas mengimbangi kelemahan otot oblik superior. Sejumlah empat kaedah pembedahan untuk melemahkan otot oblik inferior dikaji: miektomi (membuang sebahagian daripada otot tersebut), resesi (menggerakkan otot tersebut ke posisi yang mengenakan kurang daya), transposisi anterior (menggerakkan otot tersebut ke posisi di mana arah daya diubah), dan disinsersi (menanggalkan otot tesebut dari sklera).

Kedua-dua kajian tersebut tidak mengkaji hasil utama yang ingin dikaji, iaitu perkadaran peserta yang dianggap berjaya dalam penyebarisan mata selepas pembedahan. Tambahan juga, kami menilai kualiti data kedua-dua kajian tersebut sebagai rendah.

Adakah sorotan ini terkini?Kami mencari kajian dengan hasil data yang diterbitkan selewat-lewatnya 13 Disember 2016. Kajian-kajian yang disertakan diterbitkan antara 2001 dan 2003.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information
Share/Save