Penjagaan mulut bagi pencegahan di rumah jagaan

Soalan ulasan

Adakah penjagaan oral (mulut) mengurangkan pneumonia (jangkitan paru-paru) di rumah jagaan? Kami berhasrat untuk merumuskan penemuan daripada kajian-kajian yang dikenali sebagai kajian rawak terkawal bagi mengenalpasti samada penjagaan mulut membantu mencegah pneumonia dalam kalangan orang-orang tua yang tinggal di rumah jagaan atau kemudahan jagaan yang lain, dan mengenalpasti pendekatan terbaik untuk penjagaan mulut.

Latar belakang

Pneumonia adalah lazim dalam kalangan orang-orang tua yang tinggal di rumah jagaan. Pneumonia yang diperolehi daripada rumah jagaan (NHAP) merupakan jangkitan bakteria pada paru-paru yang terjadi kepada penghuni yang berada di kemudahan jagaan dalam tempoh yang panjang dan rumah-rumah jagaan. Kebersihan oral yang kurang dianggap sebagai penyumbang kepada kebarangkalian mendapat jangkitan. Penjagaan mulut profesional ialah gabungan memberus gigi dan mukosa, membersihkan gigi-gigi palsu, menggunakan cecair kumur, dan pemeriksaan oleh doktor gigi, sementara penjagaan mulut yang biasa adalah pada umumnya kurang intensif, dan dilakukan sendiri, atau diberikan oleh pekerja rumah jagaan tanpa latihan khusus dalam kebersihan oral.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini dilakukan melalui Kesihatan Oral Cochrane (Cochrane Oral Health). Kami mencari pengkalan data saintifik untuk kajian-kajian yang relevan, sehingga 15 November 2017. Kami masukkan empat kajian, dengan jumlah 3905 peserta yang ditentukan secara rawak untuk rawatan atau jagaan biasa. Peserta-peserta adalah warga emas penghuni-penghuni yang berada di rumah jagaan dalam tempoh yang panjang yang tidak mempunyai pneumonia semasa permulaan kajian. Sebahagian peserta mempunyai demensia atau penyakit-penyakit sistemik. Semua kajian tertumpu kepada perbandingan antara penjagaan mulut profesional dan penjagaan mulut biasa. Tidak ada kajian menilai penjagaan oral berbanding tiada penjagaan oral.

Keputusan utama

Kami mengenalpasti empat kajian, kesemuanya membandingkan penjagaan mulut profesional dengan penjagaan mulut biasa dalam kalangan penghuni-penghuni rumah jagaan.

Daripada bukti yang terhad, kami tidak dapat mengatakan samada penjagaan oral profesional lebih baik atau teruk daripada penjagaan mulut biasa bagi pencegahan pneumonia. Bukti untuk kematian dari apa-apa penyebab tidak dapat dibuat kesimpulan, tetapi kajian-kajian ada mencadangkan penjagaan mulut profesional mungkin mengurangkan bilangan kematian yang disebabkan oleh pneumonia, berbanding dengan penjagaan mulut biasa, apabila diukur selepas 24 bulan.

Hanya satu kajian yang telah mengukur kesan-kesan negatif intervensi-intervensi, dan melaporkan ketiadaan kejadian-kejadian serius. Kejadian tidak serius paling lazim yang dilaporkan ialah kerosakan pada mulut dan pewarnaan gigi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah, kerana bilangan kajian yang kecil dan masalah-masalah dengan rekabentuk mereka. Oleh itu, kami tidak dapat bergantung ke atas penemuan, dan penyelidikan selanjutnya diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save