Penjagaan mulut bagi pencegahan di rumah jagaan

Apakah itu pneumonia rumah jagaan?

Pneumonia rumah jagaan (NHAP) merupakan jangkitan bakteria pada paru-paru yang terjadi kepada penghuni yang berada di rumah jagaan dalam tempoh yang panjang.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah pneumonia rumah jagaan?

Orang yang mempunyai kebersihan oral yang teruk mungkin lebih berkemungkinan mendapat jangkitan. Penjagaan oral profesional ialah gabungan memberus gigi dan gusi, membersihkan gigi palsu, menggunakan ubat kumur, dan menghadiri lawatan pemeriksaan dengan doktor gigi. Penjagaan oral biasa kendiri atau disediakan oleh kakitangan rumah jagaan tanpa latihan khas dalam kebersihan mulut.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada penjagaan oral mengurangkan NHAP. Kami juga ingin mengetahui sama ada penjagaan oral mengurangkan jumlah kematian (daripada pneumonia dan daripada sebarang sebab) dalam kalangan penghuni rumah jagaan atau kemudahan penjagaan jangka panjang yang lain.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data saintifik dan daftar kajian untuk kajian rawak terkawal mengenai penjagaan oral dalam kalangan penghuni daripada rumah jagaan. Kajian rawak terkawal dianggap memberikan bukti saintifik yang paling boleh dipercayai kerana peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan rawatan mereka. Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati enam kajian yang berkaitan, dengan sejumlah 6244 peserta, yang secara rawak ditugaskan untuk penjagaan mulut profesional atau biasa. Tiga kajian telah dijalankan di Jepun, dua di Amerika Syarikat, dan satu di Perancis. Para peserta adalah penghuni rumah jagaan yang tidak mengalami pneumonia pada awal kajian. Sesetengah peserta mengalami demensia atau penyakit sistemik seperti penyakit paru-paru kronik, strok, atau kegagalan jantung. Penjagaan biasa berbeza-beza tetapi adalah mudah, penjagaan kendiri tanpa bantuan daripada profesional pergigian atau kakitangan rumah jagaan yang terlatih dalam penjagaan mulut. Tiada kajian membandingkan penjagaan oral dengan tiada penjagaan oral.

Daripada bukti yang terhad, kami tidak dapat menentukan sama ada penjagaan oral profesional lebih baik atau lebih teruk daripada penjagaan oral biasa untuk mencegah pneumonia, kematian akibat pneumonia atau kematian akibat sebarang sebab. Walau bagaimanapun, dua kajian mencadangkan bahawa penjagaan oral profesional boleh mengurangkan jumlah kematian yang disebabkan oleh pneumonia selepas 24 bulan pemerhatian.

Hanya satu kajian mengukur kesan sampingan negatif penjagaan oral profesional, dan melaporkan tiada kejadian serius. Kejadian tidak serius paling lazim ialah kerosakan pada mulut dan pewarnaan gigi.

Apakah batasan bukti?

Kami mendapati hanya sebilangan kecil kajian yang menggunakan kaedah yang berbeza-beza (contohnya bagaimana dan bila keputusan diukur dan jenis penjagaan oral profesional yang disediakan). Oleh itu, kami tidak yakin dengan penemuan kami, dan penyelidikan lanjut diperlukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 30 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsiucs.edu.my

Tools
Information