Intervensi untuk mencegah atau mengurangkan komplikasi ginjal dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Adakah terdapat sebarang intervensi yang selamat dan berkesan yang menghalang atau mengurangkan komplikasi ginjal dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit (SCD)?

Latar belakang

SCD ialah ganguan darah keturunan yang mana sel darah merah, yang membawa oksigen ke seluruh badan, terbentuk secara tidak normal. Sel darah merah biasa adalah fleksibel dan berbentuk cakera, tetapi sel sabit adalah tegar dan berbentuk bulan sabit, dan lebih melekit daripada sel darah merah biasa. Ini boleh menyebabkan saluran darah tersumbat, mengakibatkan kerosakan tisu dan organ dan episod sakit yang teruk. Sel-sel abnormal adalah rapuh dan mudah pecah, yang menyebabkan penurunan bilangan sel darah merah, dikenali sebagai anemia.

Komplikasi ginjal boleh bermula pada usia awal dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD dan lazim dalam kalangan dewasa dengan keadaan ini. Komplikasi ginjal yang menyebabkan kebocoran protein ginjal dan penyakit ginjal kronik boleh menjadi teruk, dengan kesan serius terhadap kesihatan. Komplikasi yang teruk termasuk keperluan untuk dialisis (prosedur untuk membuang bahan sisa dan cecair berlebihan daripada darah apabila ginjal berhenti berfungsi dengan baik) atau pemindahan ginjal. Mengenalpasti terapi, yang boleh mencegah atau memperlahankan kemerosotan fungsi ginjal dalam kalangan orang dengan SCD, adalah kritikal bagi meningkatkan hasil kesihatan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 22 September 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tiga kajian rawak terkawal, yang mendaftarkan seramai 385 orang. Satu kajian, diterbitkan pada 2011, membandingkan ubat hydroxyurea (yang membantu mengekalkan bentuk dan fleksibiliti sel darah merah), dengan plasebo (rawatan dummy) dalam 193 kanak-kanak berumur sembilan hingga 18 bulan. Kajian kedua, yang diterbitkan pada 1998, membandingkan captopril (ubat yang diguna untuk merawat tekanan darah tinggi) dengan plasebo dalam 22 orang dewasa dengan tekanan darah normal dan mikroalbuminuria (paras protein yang tinggi dalam air kencing). Kajian ketiga, yang diterbitkan pada 2020, membandingkan lisinopril (ubat yang diguna untuk merawat tekanan darah tinggi) dengan vitamin C dalam 170 kanak-kanak berumur satu hingga 18 tahun.

Dua kajian menerima pembiayaan kerajaan;adalah tidak jelas bagaimana kajian ketiga dibiaya.

Keputusan utama

Dalam kalangan kanak-kanak berumur sembilan hingga 18 bulan, hydroxyurea mungkin meningkatkan keupayaan untuk menghasilkan air kencing yang normal, tetapi kami tidak pasti sama ada ia mempunyai sebarang kesan ke atas kadar penapisan glomerular (rangkaian penapis dalam ginjal yang menapis sisa daripada darah). Hydroxyurea mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kejadian komplikasi serius termasuk sindrom dada akut (sakit, batuk, demam, tahap oksigen rendah dan bahan yang tidak normal dalam paru-paru), krisis yang menyakitkan dan kemasukan ke hospital.

Kami tidak pasti jika memberi captopril kepada orang dewasa dengan SCD dengan tekanan darah normal dan tanda-tanda awal kerosakan ginjal (mikroalbuminuria) mengurangkan perkembangan kerosakan ginjal.

Kami tidak pasti jika memberi lisinopril kepada kanak-kanak berumur satu hingga 18 tahun dengan SCD yang ada tekanan darah normal dan tanda-tanda awal kerosakan ginjal (microalbuminuria) mengurangkan perkembangan kerosakan ginjal.

Tiada kajian yang melaporkan kualiti hidup.

Batasan bukti

Kami mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan terhadap bukti kerana hanya menemui tiga kajian, dan ia mempunyai populasi tertentu (hanya kanak-kanak atau hanya orang dewasa), sedikit peserta dan variasi keputusan yang meluas.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej UNiversiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information