Intervensi untuk mencegah atau mengurangkan komplikasi buah pinggang dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mahu menentukan jika terdapat sebarang intervensi selamat dan berkesan yang menghalang atau mengurangkan komplikasi buah pinggang dengan penyakit sel sabit (SCD).

Latar belakang

SCD adalah penyakit keturunan yang serius di mana sel-sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan, terbentuk secara tidak normal. Sel darah merah yang normal adalah fleksibel dan berbentuk cakera tetapi dalam SCD, ia menjadi keras dan berbentuk sabit. Sel sabit bukan sahaja kurang fleksibel berbanding sel-sel darah merah yang sihat, malah mereka juga lebih melekit. ini menyebabkan salur-salur darah tersumbat, mengakibatkan kerosakan tisu dan organ dan episod sakit yang teruk. Sel-sel darah yang abnormal ini tidak kuat dan pecah, menyebabkan kurangnya bilangan sel darah merah, keadaan ini dikenali sebagai anemia.

Komplikasi buah pinggang boleh bermula pada usia awal dalam kalangan kanak-kanak dengan SCD dan lazim dalam kalangan dewasa dengan keadaan ini. Komplikasi buah pinggang membawa kepada kebocoran protein dan penyakit buah pinggang kronik boleh menjadi teruk dengan kesan yang serius terhadap kesihatan (seperti perlunya dialisis atau pemindahan buah pinggang). Mengenalpasti terapi, yang boleh mencegah atau memperlahankan kemerosotan fungsi buah pinggang dalam kalangan orang dengan SCD, adalah kritikal dalam meningkatkan hasil kesihatan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 13 April 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati dua kajian rawak terkawal yang mendaftarkan sejumlah 215 orang peserta. Satu kajian, terbitan 2011, telah dijalankan ke atas 193 bayi berumur 9 bulan hingga 18 bulan dan membandingkan ubat hydroxyurea dengan plasebo. Kajian kedua, terbitan 1998, telah dijalankan ke ataa 22 orang dewasa dengan tekanan darah normal dan mikroalbuminuria (peningkatan protein dalam air kencing) dan membandingkan captopril (sejenis ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi) dengan plasebo.

Kedua-dua kajian menerima pembiayaan kerajaan.

Keputusan utama

Dalam kalangan bayi berumur 9 bulan hingga 18 bulan, hydroxyurea mungkin meningkatkan keupayaan untuk menghasilkan air kencing normal, tetapi kami tidak pasti jika ia mempunyai sebarang kesan pada kadar penapisan glomerular (rangkaian penapis di dalam buah pinggang yang menapis bahan buangan daripada darah). Hydroxyurea mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada insidenkomplikasi yang berkaitan dengan SCD (termasuk sindrom dada akut, krisis yang menyakitkan dan kemasukkan ke hospital).

Kami tidak pasti jika memberi captopril kepada orang dewasa dengan SCD dengan tekanan darah normal dan tanda-tanda awal kerosakan buah pinggang (mikroalbuminuria) mengurangkan progresi kerosakan buah pinggang.

Kualiti hidup tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi semua hasil adalah dinilai sebagai rendah ke sangat rendah kerana kajian-kajian berisiko bias tinggi dan bilangan kajian yang kecil dengan jumlah peserta yang kecil di dalam kajian-kajian tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information