Terapi psikologi untuk mencegah gangguan tekanan selepas trauma di kalangan kanak-kanak dan remaja

Mengapakah ulasan in penting?

Kanak-kanak dan remaja yang mengalami trauma adalah berisiko untuk mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan kesan psikologi dan sosial yang negatif.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Kanak-kanak dan remaja yang telah mengalami trauma serta keluarga dan penjaga mereka akan berminat dengan ulasan ini, bersama-sama dengan kakitangan profesional penjagaan kesihatan, terutamanya mereka yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

• Apakah kesan terapi psikologi dalam mencegah PTSD dan lain-lain kesan negatif emosi, tingkah laku dan kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada peristiwa traumatik?

• Terapi psikologi manakah yang paling berkesan?

• Adakah terapi psikologi lebih berkesan daripada terapi farmakologi atau rawatan lain?

Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?

Penulis ulasan telah meneliti pangkalan data setakat Mei 2015 untuk mencari kesemua ujian yang berkaitan. Untuk dirangkumkan di dalam ulasan, kajian mesti terdiri daripada kajian rawak terkawal dan melibatkan kanak-kanak dan remaja yang telah terdedah kepada trauma.

Kami menyertakan 51 kajian dengan sejumlah 6201 peserta. Peserta telah terdedah kepada penderaan seksual dalam 12 kajian, kepada peperangan atau keganasan komuniti dalam 10 kajian, kepada trauma fizikal dan bencana alam dalam enam kajian setiap satu dan kepada keganasan interpersonal dalam tiga kajian. Dalam satu kajian setiapnya, peserta telah mengalami penyakit yang mengancam nyawa atau telah didera atau dianiaya secara fizikal. Peserta dalam kajian selebihnya telah terdedah kepada pelbagai trauma.

Kebanyakan kajian membandingkan terapi psikologi dengan kondisi kawalan termasuk rawatan seperti biasa, senarai menunggu atau tiada rawatan; lain-lain ujian membandingkan terapi psikologi yang berbeza.

Sejumlah 43 kajian melaporkan kesan yang direkodkan dalam satu bulan selepas rawatan; 27 kajian melaporkan kesan dari satu bulan sehingga satu tahun, dan lapan kajian melaporkan data selama satu tahun atau lebih selepas rawatan.

Apakah yang diberitahu oleh bukti dalam ulasan?

Kanak-kanak dan remaja yang menerima terapi psikologi kurang berkemungkinan untuk didiagnosis dengan PTSD dan mengalami lebih sedikit gejala PTSD sehingga sebulan selepas rawatan berbanding dengan mereka yang tidak menerima rawatan, menerima rawatan seperti biasa atau berada dalam senarai menunggu. Keyakinan kami mengenai penemuan ini adalah terhad kerana kualiti keseluruhan bukti adalah sangat rendah hingga rendah. Tiada bukti untuk keberkesanan terapi psikologi melebihi satu bulan. Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa terapi tingkah laku kognitif (CBT) mungkin lebih berkesan dalam mengurangkan simptom PTSD berbanding dengan terapi psikologi lain sehingga satu bulan. Tiada kesan buruk dilaporkan. Tiada kajian yang membandingkan terapi psikologi dengan ubat-ubatan.

Apa yang patut berlaku seterusnya?

Para penyelidik patut menjalankan kajian berkualiti tinggi untuk menilai lebih lanjut keberkesanan terapi psikologi di kalangan kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada trauma. kajian-kajian ini harus direka bentuk untuk memastikan peserta dan keluarga mereka tidak mengetahui sama ada mereka menerima terapi psikologi, terutamanya apabila langkah-langkah diselesaikan oleh peserta atau ibu bapa mereka. Di samping itu, usaha perlu dilakukan untuk memastikan kadar susulan melebihi satu bulan selepas terapi selesai adalah tinggi.

Di samping itu, kajian harus membandingkan jenis terapi psikologi yang berbeza untuk memberikan petunjuk yang lebih baik sama ada kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada pelbagai jenis trauma berkemungkinan besar untuk bertindak balas terhadap terapi ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information