Antimetabolit sebagai tambahan kepada dakriosistorinostomi untuk penyumbatan saluran nasolakrimal

Apakah tujuan ulasan ini?
Dakriosistorinostomi (DCR) adalah sejenis pembedahan yang membuat laluan saliran air mata baru antara kelopak mata dan hidung untuk melegakan gejala koyakan (kejayaan fungsi), meningkatkan keterbukaan saluran air mata ke pengairan (kejayaan anatomi), dan meningkatkan ukuran bukaan ke dalam hidung (saiz ostium). Tujuan kami adalah untuk menilai sama ada ubat antiparut (antimetabolit) dapat meningkatkan kejayaan fungsi, kejayaan anatomi, dan saiz ostium berkaitan DCR.

Keputusan-keputusan utama
Kami mendapati bahawa antimetabolit boleh meningkatkan kejayaan fungsi dan anatomi (berbanding dengan DCR sahaja) pada masa susulan melebihi enam bulan. Antimetabolit juga boleh meningkatkan saiz ostium dalam enam bulan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Sistem lakrimal menghasilkan air mata, yang menyihatkan permukaan mata dan menjadikannya lembap. Setelah melalui permukaan mata, air mata mengalir ke hidung melalui alat saliran lakrimal. Halangan saluran nasolakrimal (NLDO) adalah penyumbatan saluran ini, yang boleh menyebabkan limpahan air mata. NLDO biasanya tidak menyakitkan dan boleh melibatkan satu atau kedua-dua mata. NLDO juga boleh menyebabkan jangkitan pada mata. NLDO dirawat secara pembedahan dengan prosedur yang dikenali sebagai dakriosistorinostomi (DCR), yang menyediakan laluan baru dengan membuat laluan antara kantung air mata dan hidung. Antimetabolit telah digunakan untuk meningkatkan kadar kejayaan prosedur ini. Kami ingin mengetahui sama ada DCR yang digabungkan dengan antimetabolit dapat meningkatkan hasil untuk kejayaan fungsi, kejayaan anatomi, dan saiz ostium berbanding dengan DCR sahaja. Kami mengumpul dan menganalisis semua ujian terkawal rawak yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Apakah hasil-hasil utama ulasan ini?
Kami mengenal pasti 31 kajian yang relevan untuk dimasukkan, yang kebanyakannya berasal dari Asia Selatan dan Timur dan melibatkan wanita. Kajian-kajian ini membandingkan pesakit yang menjalani DCR dengan metabolit berbanding pesakit yang menjalani DCR sahaja. Dua puluh tiga kajian ini (1309 pesakit) memberikan data mengenai hasil-hasil yang penting bagi kami.

DCR dengan antimetabolit mungkin meningkatkan kejayaan fungsi dan anatomi apabila pesakit dikuti lebih dari enam bulan setelah pembedahan; kepastian bukti ini adalah sederhana. Tidak ada perbezaan dalam kejayaan fungsi dan anatomi pada enam bulan dalam kalangan pesakit yang menjalani DCR dengan antimetabolit berbanding pesakit yang menjalani DCR sahaja; kepastian bukti adalah rendah.

Pada enam bulan, pesakit yang menjalani DCR dengan antimetabolit mungkin telah meningkatkan saiz ostium berbanding dengan mereka yang menerima DCR sahaja. Namun, selepas enam bulan, tidak ada bukti tentang perbezaan antara pesakit yang menjalani DCR dengan antimetabolit berbanding dengan pesakit yang menjalani DCR sahaja. Kepastian bukti adalah rendah kerana kebolehubahan yang ketara di antara kajian-kajian yang menilai hasil ini. Kesan buruk antimetabolit adalah minimum.

Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?
Kami mengkaji kajian yang diterbitkan sehingga 6 September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save