Ubat-ubat yang mencegah perdarahan dalam kalangan orang yang mengguna antikoagulan yang menjalani pembedahan oral minor atau cabutan gigi

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti sama ada ubat antifibrinolitis (ubat-ubatan yang mencegah penghuraian darah beku), seperti asid tranexamic atau asid epsilon aminokaproik, dapat mencegah perdarahan oral selepas pembedahan oral minor atau cabutan gigi dalam kalangan orang yang menggunakan antikoagulan oral (ubat pencair darah yang diambil melalui mulut) tanpa gangguan semasa prosedur.

Latar belakang

Orang yang mengambil rawatan antikoagulan oral berterusan lebih berisiko komplikasi perdarahan semasa dan selepas pembedahan oral atau cabutan gigi. Terdapat dua jenis rawatan antikoagulan oral: antagonis vitamin K (VKA) (seperti warfarin dan kumarin) dan antikoagulan oral langsung (DOAC) (seperti dabigatran, rivaroxaban, apixaban, edoxaban). DOAC menjadi alternatif yang semakin popular untuk VKA, yang secara tradisional diguna untuk mencegah pembekuan darah dalam kalangan orang yang berisiko trombosis. Bilangan perdarahan dan keterukan setiap perdarahan bergantung kepada faktor yang berkait dengan ubat (seperti tahap antikoagulasi, diukur dengan nisbah ternormal antarabangsa (INR)), faktor yang berkait dengan pembedahan (seperti ukuran luka atau bilangan akar yang dicabut), serta faktor berkaitan pesakit (seperti keradangan gusi atau penyakit saluran darah). Tahap INR penting untuk menentukan berapa baik rawatan antikoagulan mencegah klot darah. Dalam julat tahap INR yang diinginkan, seseorang berisiko paling kurang komplikasi pembekuan darah dan paling kurang risiko perdarahan berlebihan. Dalam amalan rutin, ubat antifibrinolitis sering diguna sebelum, semasa dan selepas pembedahan oral minor atau cabutan gigi bagi orang yang mengguna antikoagulan oral. Persoalannya ialah sama ada terdapat bukti saintifik yang bolehpercaya untuk amalan ini.

Carian tarikh

Bukti adalah terkini sehingga: 04 Januari 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak menemui sebarang kajian ubat antifibrinolitis untuk mencegah perdarahan selepas pembedahan oral minor atau cabutan gigi dalam kalangan orang yang mengguna DOAC. Ulasan ini menyertakan empat kajian (253 peserta) dalam kalangan orang yang berterusan dirawat dengan VKA semasa pembedahan oral minor atau cabutan gigi. Kajian paling awal yang disertakan diterbitkan pada 1989 dan yang terbaru pada 2015. Purata umur peserta adalah 60 tahun. Tempoh susulan dalam semua kajian adalah tujuh hari.

Keputusan utama

Secara keseluruhan, kajian yang disertakan menunjukkan pengurangan bilangan perdarahan selepas cabutan gigi apabila mengguna cecair asid tranexamic dalam mulut. Gabungan keputusan kajian-kajian berasingan menunjukkan ubat antifibrinolitis mengurangkan kadar perdarahan selepas cabutan gigi sebanyak 25% berbanding plasebo (rawatan 'dummy'). Walau bagaimanapun, tiada perbezaan dalam kadar perdarahan di antara orang yang dirawat dengan asid tranexamic dan mereka yang dirawat penjagaan standard (seperti mampatan gauze atau jahitan). Kesan sampingan ubat antifibrinolitis jarang berlaku dan tidak menyebabkan individu menghentikan rawatan asid tranexamic.

Tiada bukti ditemui untuk orang yang dirawat dengan DOAC. Walau bagaimanapun, mungkin boleh dianggap, jika ubat antifibrinolitis berkesan dalam kalangan orang yang menjalani rawatan berterusan dengan VKA, ia juga mungkin berfungsi untuk orang yang menerima ubat antikoagulan yang serupa.

Kualiti bukti

Berkait dengan dua hasil utama ulasan ini iaitu bilangan perdarahan pasca operasi dan kesan sampingan terapi, kami menilai bukti tersebut berkualiti sederhana.

Dalam kedua-dua kajian yang membandingkan asid tranexamic dengan plasebo, risiko bias berkaitan reka bentuk kajian dianggap rendah, dalam kedua-dua kajian yang membandingkan asid tranexamic dengan penjagaan standard (span gelatin dan sutur; atau mampatan kain kasa kering) risiko bias dianggap sederhana. Ini terutama akibat kurangnya pembutaan (cara memastikan orang yang terlibat dalam kajian tidak mengetahui lengan kajian yang mereka diletakkan) dan kurang penyembunyian peruntukan (menggunakan peluang untuk meletakkan peserta ke dalam kumpulan perbandingan untuk mengelakkan berat bias pemilihan) dalam dua daripada kajian-kajian tersebut. Terdapat perbezaan-perbezaan antara kajian-kajian berkait dengan rawatan penjagaan standard yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information