Latihan kognitif berkomputer bagi mengekalkan fungsi kognitif dikalangan warga emas yang sihat kognitifnya

Latarbelakang

Istilah ‘kognisi’ dan ‘fungsi kognitif’ merujuk kepada semua aktiviti mental yang berkaitan dengan pemikiran, pembelajaran, ingatan, dan komunikasi. Perubahan dalam fungsi kognitif adalah perkara normal yang berlaku dalam proses penuaan. Tetapi terdapat juga penyakit yang menjejaskan kognisi, terutamanya demensia, yang menjadi semakin lazim dengan pertambahan umur selalunya dari usia 65 tahun ke atas. Telah diketahui bahawa fungsi mental yang aktif sepanjang hidup dikaitkan dengan risiko demensia yang lebih rendah. Dari itu, menggalakkan aktiviti yang melibatkan pemikiran mungkin boleh menjadi cara yang berkesan bagi mengekalkan fungsi kognitif yang baik sepanjang proses penuaan. Latihan kognitif merangkumi satu set kerja standard yang bertujuan memberi ‘senaman kepada otak’ dengan pelbagai cara. Program latihan kognitif selalunya disampaikan melalui komputer ataupun teknologi telefon, supaya orang boleh melakukan latihan ini sendiri di rumah. Sejak kebelakangan ini semakin banyak pakej kognitif ini diiklankan secara komersial kepada masyarakat umum. Kami ingin mengetahui sama ada latihan kognitif berkomputer jangka masa panjang (CCT) ini adalah cara yang berkesan bagi mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas mengekalkan fungsi kognitif yang baik sepanjang proses penuaan.

Apa yang telah kami lakukan

Kami telah mencari penerbitan perubatan sehingga 15 Mac 2018 bagi kajian yang membandingkan fungsi kognitif mereka yang berumur 65 atau lebih yang telah mengambil bahagian dalam latihan kognitif berkomputer untuk sekurang-kurangnya 12 minggu dengan kumpulan kawalan yang tidak berbuat demikian. Kesemua peserta seharusnya mempunyai kognitif yang sihat di permulaan kajian. Untuk menjadikan perbandingan seadil mungkin, pembahagian peserta diputuskan secara rawak sama ada peserta di tempatkan dalam kumpulan latihan kognitif atau kumpulan kawalan. Kami berminat untuk mengetahui ukuran kognisi keseluruhan. Pilihan tiga bulan untuk intervensi tidak mempunyai asas yang kukuh, tetapi kami fikir intervensi yang sangat pendek tidak mungkin mempunyai kesan yang berpanjangan, dan kami berminat dalam intervensi yang boleh dikekalkan untuk tempoh masa yang lama.

Apa yang kami temui

Kami menjumpai lapan kajian dengan jumlah 1183 peserta untuk dimasukkan ke dalam ulasan. Lima kajian yang diberikan CCT selama tiga bulan, dua untuk empat bulan, dan satu untuk enam bulan. Kami membandingkan CCT dengan aktiviti lain, seperti menonton video pembelajaran, dan dengan tiada aktiviti. Kami melihat kepada kesan ke atas keseluruhan fungsi kognitif dan ke atas fungsi kognitif yang khusus, seperti ingatan dan kelajuan berfikir. Kesemua kajian mempunyai beberapa masalah rekabentuk, yang boleh menyebabkan keputusan serong diperolehi. Keseluruhannya, kami fikir kualiti bukti yang kami temui adalah rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kami tidak boleh yakin dengan keputusan yang diperolehi, dan penyelidikan masa depan mungkin akan menemui keputusan yang berbeza. CCT boleh memperbaiki sedikit fungsi kognitif keseluruhan selepas 12 minggu latihan; Walau bagaimanapun, kami mendapati tiada bukti kesan berterusan hingga 12 bulan selepas intervensi. Kami tidak dapat memberi komen atau mendapati sedikit bukti bahawa CCT apabila dibandingkan dengan aktiviti lain mungkin mempunyai kesan yang relevan ke atas kebanyakan fungsi kognitif khusus yang kami periksa. Kajian terpanjang juga menemui bahawa melakukan CCT selama enam bulan mungkin mempunyai kesan yang berguna ke atas ingatan berbanding tidak melakukan apa-apa aktiviti. Tiada kajian yang termasuk melaporkan kesan latihan kognitif keatas kualiti kehidupan atau ke atas aktiviti harian, dan tiada laporan kesan bahaya latihan.

Kesimpulan kami

Berbanding dengan lain-lain aktiviti, CCT boleh membawa kepada fungsi kognitif yang lebih baik secara keseluruhan pada akhir 12 minggu latihan, tetapi kami mendapati tiada bukti bahawa kesan ini berterusan setahun kemudian. Berbanding dengan tiada melakukan apa-apa, CCT mungkin sedikit meningkatkan memori pada akhir enam bulan latihan. Walaupun kami mengecualikan kajian dengan kurang daripada 12 minggu latihan, kajian-kajian yang kami termasuk juga agak singkat bagi menilai kesan-kesan jangka panjang proses penuaan. Had ulasan kami adalah bahawa kami tidak memasukkan beberapa kajian dengan tempoh latihan yang lebih singkat yang melihat kepada kesan yang berpanjangan, jadi ada kemungkinan kami terlepas beberapa bukti yang berguna. Banyak kajian yang diterbitkan melihat kepada latihan berkomputer. Memahami penerbitan yang banyak ini agak sukar. Ia mungkin lebih membantu di masa akan datang untuk mengkategorikan kajian kepada tempoh kesan latihan berbanding dengan tempoh latihan itu sendiri.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save