Intervensi untuk mencegah atau mengurangkan gejala kekeringan atau jangkitan pernafasan dalam persekitaran pendidikan dan di tempat kerja

Matlamat kami adalah untuk mengetahui sama ada pelembapan udara dalaman boleh mencegah atau mengurangkan gejala kekeringan atau jangkitan pernafasan dalam persekitaran pendidikan dan di tempat kerja.

Dalam tempoh pemanasan, kelembapan udara dalaman adalah rendah, di mana ia boleh menyebabkan aduan seperti kekeringan mata, hidung, tekak dan kulit. Tambahan pula, mukosa yang kering dan teriritasi seterusnya boleh menyebabkan mudah terdedah pada jangkitan saluran pernafasan. Keadaan ini juga boleh dikaitkan dengan tidak pergi bekerja dan ke sekolah. Peningkatan kelembapan udara dalaman dengan menyediakan mesin pelembap mungkin dapat mencegah atau mengurangkan gejala kekeringan atau jangkitan pernafasan.

Kajian mendapati:

Kami menyertakan 13 kajian dengan 4551 peserta. Tujuh kajian dijalankan di tempat kerja (di hospital dan di pejabat) serta lima kajian dijalankan dalam persekitaran pendidikan (tadika dan sekolah). Data daripada satu kajian tidak dapat dianalisis untuk tujuan ulasan ini.

Pelembapan udara dalaman berbanding tiada pelembapan

Kajian yang disertakan menunjukkan bahawa peningkatan kelembapan udara dalaman dengan memasang mesin pelembap di tempat kerja tidak memberi kesan, dan kajian lain menunjukkan penurunan gejala kekeringan mata, kulit serta saluran pernafasan. Bagaimanapun, kepastian bukti adalah rendah hingga sangat rendah.

Mengenai ketidakhadiran, hasil kajian (kebanyakannya dijalankan dalam persekitaran pendidikan) juga tidak konsisten. Bukti adalah berkepastian sangat rendah.

Kualiti bukti

Kami menilai kepastian bukti sebagai rendah hingga sangat rendah, disebabkan oleh batasan dalam kajian-kajian tersebut. Ini bermakna kami tidak yakin mengenai penemuan keseluruhan.

Apa yang masih perlu kita ketahui?

Kami memerlukan kajian berkepastian lebih tinggi, dengan definisi dan pengukuran gejala yang tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information