Ubat-ubatan untuk merawat krisis sel sabit yang menyakitkan pada orang dewasa

Kesimpulan

Kami tidak pasti ubat-ubatan yang mana memberikan kelegaan kesakitan terbaik bagi orang dewasa yang mengalami krisis sel sabit yang menyakitkan.

Latar belakang

Orang yang mempunyai penyakit sel sabit mempunyai sel darah merah yang berbentuk abnormal. Penyakit sel sabit adalah penyakit darah yang paling biasa diwarisi di seluruh dunia. Dianggarkan di seluruh dunia bahawa 367 juta hingga 500 juta orang adalah pembawa. Orang dengan penyakit sel sabit mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk komplikasi yang mengancam nyawa, seperti jangkitan, sakit dada yang teruk dan strok pada usia muda, dan kerosakan buah pinggang atau hati ketika dewasa.

Krisis kesakitan adalah masalah yang paling biasa bagi penyakit sel sabit dan boleh memerlukan beberapa rawatan sekaligus, biasanya dalam keadaan kecemasan. Keutamaan pertama adalah untuk mengawal rasa sakit, menggunakan ubat-ubatan (seperti opioid, ubat anti-radang bukan steroid, parasetamol, dan penipisan darah) atau relaksasi, hipnosis, haba, ais, atau akupunktur.

Ciri-ciri kajian

Pada September 2019, kami mencari kajian klinikal yang menggunakan ubat-ubatan dalam sebarang keadaan untuk merawat krisis sel sabit yang menyakitkan. Kami menjumpai sembilan kajian, dengan 594 orang dewasa (berumur 17 hingga 42 tahun) yang mempunyai penyakit sel sabit, mengalami jumlah gabungan sebanyak 638 episod yang menyakitkan.

Keputusan-keputusan utama

Kajian melihat kepada perbandingan yang berbeza dari ubat butorphanol, cetiedil, fentanyl, ketoprofen, ketorolac, metoclopramide, morfin, parasetamol, plasebo, tinzaparin, dan tramadol. Hanya tiga kajian yang membandingkan dua ubat yang sama (ubat anti-radang bukan steroid seperti ibuprofen, aspirin, atau naproxen, dengan plasebo (rawatan berpura-pura)) dan kami mempunyai data yang sangat terhad untuk dapat mengkaji kesan pada skor kesakitan dari ubat-ubatan ini.

Kesan sampingan adalah jarang berlaku dan umumnya ringan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusannya. Untuk melegakan kesakitan dan kesan sampingan, kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah.

Kami menurunkan kualiti bukti kepada sangat rendah kerana data tidak mencukupi (seperti terlalu sedikit peserta). Untuk beberapa hasil, kualiti bukti adalah tidak diketahui kerana tidak ada bukti yang boleh didapati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save