Ubat untuk mengelakkan pembekuan selepas pendarahan dalam otak

Soalan ulasan
Apakah faedah dan risiko ubat yang digunakan untuk mencegah pembekuan (dikenali sebagai 'ubat antitrombotik') dalam jangka pendek dan jangka panjang selepas strok akibat pendarahan di otak (dikenali sebagai 'pendarahan otak')?

Latar belakang
Orang yang menghidap strok akibat pendarahan otak lebih berkemungkinan mengalami pembekuan dalam saluran darah mereka berbanding orang yang tidak mengalami pendarahan otak. Ketidakmampuan untuk bergerak pada awal strok boleh menyebabkan pembekuan pada urat kaki dan pelvis. Keadaan perubatan asas pesakit dalam jangka pendek dan panjang selepas strok juga boleh menyebabkan pembekuan pada arteri paru-paru, otak, jantung, kaki atau organ lain. Pembekuan ini boleh menyebabkan penyakit serius atau kematian. Ubat antitrombotik boleh menghalang pembekuan. Walau bagaimanapun, ubat ini juga boleh menyebabkan masalah pendarahan, yang boleh menyebabkan penyakit serius atau kematian. Sama ada ubat antitrombotik memberi manfaat atau membahayakan pesakit selepas pendarahan otak adalah tidak diketahui. Ini adalah kemaskini Ulasan Cochrane, yang kali terakhir diterbitkan pada 2017.

Ciri-ciri kajian
Kami mengemas kini carian meluas kami untuk kajian rawak terkawal, yang merupakan ujian rawatan yang paling adil, pada Oktober 2021. Kami menemui sembilan kajian, yang memasukkan 1491 orang dengan pendarahan otak pada masa lalu. Empat kajian mengkaji penggunaan jangka pendek ubat penipisan darah yang disuntik (dikenali sebagai 'antikoagulan') dalam mangsa pendarahan otak yang tidak mampu bergerak. Tiga kajian mengkaji penggunaan jangka panjang antikoagulan oral dalam mangsa yang terselamat dengan degupan jantung yang tidak teratur (dikenali sebagai 'fibrilasi atrium'). Satu kajian mengkaji penggunaan jangka panjang ubat oral penipisan darah (dikenali sebagai 'ubat antiplatelet') selepas pendarahan otak, dan satu lagi kajian membandingkan dua jenis ubat antiplatelet yang berbeza.

Keputusan utama
Kami tidak mengenal pasti faedah atau risiko ketara antikoagulan suntikan jangka pendek atau ubat oral antiplatelet jangka panjang. Walaupun antikoagulan oral jangka panjang mengurangkan risiko sebarang pendarahan besar atau peristiwa pembekuan pada mangsa pendarahan otak yang terselamat dengan fibrilasi atrium, penemuannya tidak tepat, dan kami hanya sederhana yakin dengan buktinya. Kami tidak mengenal pasti perbezaan ketara dalam manfaat atau risiko apabila membandingkan dua ubat antiplatelet jangka panjang (cilostazol berbanding aspirin) untuk orang yang mengalami strok atau strok mini akibat pembekuan dan pendarahan otak pada masa lalu.

Kesimpulan
Walaupun ubat antitrombotik kelihatan berpotensi selepas pendarahan otak, kami tidak dapat memastikannya berdasarkan kajian yang telah dilakukan setakat ini. Kajian yang lebih besar adalah diperlukan untuk memastikan tentang kesan ubat ini selepas pendarahan otak. Lapan kajian yang sedang berterusan akan membantu menyelesaikan ketidakpastian ini jika mereka merekrut ramai peserta.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information